TERKINI :

Tuesday, March 22, 2016

Mukhriz tetap mahu Najib gugur walau dipecat

Bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan beliau tetap akan gigih mengetepikan Datuk Seri Najib Razak walaupun jika ditakdirkan keahliannya dalam Umno digugurkan.

Bercakap kepada peserta program Santai Bersama Datuk Seri Mukhriz di Johor Bahru petang tadi, beliau berkata setakat ini tumpuannya masih "dalam Umno".

"Saya sendiri pun darah daging Umno. Saya tidak akan keluar parti, tapi kalau dipecat, itu lain hal.

‎"Kalau dipecat pun, saya akan terus membantu untuk menguatkan Umno dengan cara ‎berkempen supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digugurkan," katanya menjawab soalan salah seorang peserta.

Kenyataan itu kemudian disambut tepukan tangan hadirin.

Program anjuran Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) Johor itu dihadiri kira-kira 150 orang. Antara lain ia bertujuan mengumpul tandatangan orang ramai untuk menyokong Deklarasi Rakyat.

Mukhriz kini menjadi antara tokoh dalam Umno yang gigih berkempen mengetepikan Najib daripada jawatan sebagai Presiden Umno dan perdana menteri.

Deklarasi Rakyat ketika ini

Gerakan itu diketuai bapa Mukhirz yang juga bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut menyertai gerakan itu ialah bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Nama Mukhriz menjadi modal kepada BN untuk merampas Kedah daripada Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13 lalu.

Kata Mukhriz buat masa ini belum sesuai untuk beliau berbincang atau melontarkan idea mengenai pilihan lain untuk mengetepikan Najib kecuali melalui Deklarasi Rakyat - merujuk kepada desakan dibaca Dr Mahathir kali pertama pada 4 Mac lalu.

Terdahulu seorang peserta mengemukakan soalan kepada Mukhriz mengenai pilihan yang ada kepada Umno jika Najib tetap berkuasa menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

'Rumah' sedang terbakar

Mukhriz yang juga ADUN Ayer Hitam berkata, melalui pepatah 'jangan kerana seekor nyamuk, satu kelambu dibakar' ‎kini adalah waktu untuk menyelamatkan rumah (parti).

"‎Percayalah, kita takkan menang (PRU) selagi Najib masih lagi presiden Umno.

"Kelambu kita dah terbakar, nyamuk entah ke mana kita tak tahu. Kita tak hairan dengan nyamuk itu lagi, kita nak selamatkan rumah kita yang sedang terbakar," katanya.

Mukhriz menambah suasana politik sekarang dilihat sebagai sangat luar biasa, termasuk jika dinilai kepada segi sokongan kepada Umno.

"Orang-orang Melayu sendiri sudah tak tahan, dan sanggup menolak umno.

"Mereka sudah tak kisah dah, kalau bukan Umno pun tak apa. Saya takut perkara ini pun berlaku di kubu kuat Umno seperti di Johor ini," katanya.

Justeru katanya perkara yang dibangkitkan itu tidak boleh dianggap remeh.

"Jadi saya ingat kita tak boleh buat endah tak endah, dan mestilah bergerak untuk meyakinkan kepimpinan parti dengan pendekatan terbaik serta akan menyelamatkan keadaan," ujarnya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...