TERKINI :

Wednesday, March 30, 2016

Muhyiddin sanggah Puad Zakashi berkenaan isu beliau berbohong jumpa Gabenor Bank Negara

Saya memandang berat tuduhan Datuk Puad Zarkashi yang disiarkan dalam Berita Harian bertarikh 26 Mac 2016 kononnya saya berbohong mengenai pertemuan saya dengan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, di mana Gabenor Bank Negara itu memberitahu saya secara lisan beberapa maklumat mengenai 1MDB. Saya ingin menegaskan bahawa saya sama sekali tidak berbohong. Tan Sri Zeti juga tidak menafikan sepenuhnya kenyataan saya. Puad Zarkashi membuat andaian saya berbohong kerana dia tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

Sebagai Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu, saya berhak untuk mengetahui secara terperinci isu-isu penting negara. Adalah menjadi kebiasaan ketua-ketua agensi kerajaan datang menemui saya untuk memaklumkan perkembangan sesuatu isu. Dalam pertemuan saya dengan Tan Sri Zeti, saya dapat tahu bahawa pihak Monetary Authority Singapore telah menyerahkan satu laporan kepada BNM berkenaan wang 1MDB yang tidak dimasukkan ke dalam akaun Bank BSI di Singapura dan laporan  tersebut telah diserahkan kepada Ketua Audit Negara untuk disiasat. Saya juga dapat tahu banyak urusniaga 1MDB yang melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang jika didapati bersalah boleh didenda maksima RM50 juta atau penjara 12 tahun.

Najib juga dikatakan cuba campur tangan dalam siasatan BNM, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini. Jangan kita lupa bahawa BNM telah dua kali mengemukakan kertas siasatan mengenai 1MDB kepada Peguam Negara dan memperakukan tindakan undang-undang diambil atas kesalahan melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 tetapi ditolak oleh Peguam Negara. Ini bermakna siasatan di peringkat BNM berpuashati bahawa terdapat salah laku di pihak 1MDB.

Tan Sri Zeti juga memberitahu saya beliau bertegas untuk meneruskan siasatan ke atas 1MDB walaupun mendapat tekanan. Sebagai seorang Gabenor bank pusat yang berwibawa, saya yakin beliau telah menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah. Saya yakin rakyat akan mengetahui kedudukan sebenar kes ini dan kebenaran akan terserlah jika pendakwaan dijalankan dan segala bukti yang berkaitan dikemukakan di mahkamah.

Muhyiddin Yassin

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...