TERKINI :

Saturday, March 19, 2016

Mat Sabu komen mengenai pembentukan Pakatan PAS-IKATAN

Blok ketiga meriahkan politik demokrasi negara

ALOR SETAR - Pembentukan blok ketiga pembangkang oleh Pas dengan kerjasama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) tidak memberi kesan besar kepada Pakatan Harapan.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, usaha itu sebaliknya memeriahkan lagi politik demokrasi di Malaysia.

“Itu hak mereka untuk menentukan arah tuju politik masing-masing tapi saya tidak mahu menyetuh banyak hal mereka. Cuma saya akan tumpu untuk berkempen kepada Amanah dan Pakatan Harapan.

“Saya rasa kewujudan blok ketiga ini tidak ada masalah sebab rakyat tahu pilih. Misalnya dalam PRK Bukit Selambau pernah sehingga 15 calon, tapi rakyat memilih sama ada BN atau PR,” katanya kepada media.

Menurutnya, rakyat hanya akan memilih parti yang dianggap boleh memerintah negara sama ada BN mahupun Pakatan Harapan.

“Saya tak nampak apa-apa kesan besar. Soal kacau daun itu boleh ditafsir masing-masing. Tapi kita boleh tengok kehadiran orang menyertai Amanah begitu memberangsangkan, bahkan untuk pendaftaran kami terpaksa memperlahankan aliran orang untuk sertai.

“Ahli Amanah yang berdaftar sekitar 40,000 orang sahaja. Tapi borang pendaftaran yang dalam proses terlalu banyak lebih 100,000 orang termasuk dari ahli Umno,” katanya.

Ditanya sama ada Amanah menawarkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai parti itu, beliau menafikannya.

“Tak ada, dia (Tun Mahathir) orang bijak. Bagilah dia memilih. Begitu juga dengan (bekas Menteri Besar Kedah) Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan (bekas Timbalan Perdana Menteri), Tan Sri Muhyiddin Yassin mereka orang yang ada pemikiran.

“Kita biar mereka pilih. Saya tak ada apa-apa tawaran untuk mereka sertai parti pembangkang. Kalau mereka nak sertai, kita tunggu sehingga tiba waktu itu. Kita tak boleh buat ramalan bagi mereka orang bijak,” katanya.

Pada 16 Mac lalu, Pas mengesahkan Ikatan sebagai rakan komponen dalam pembentukan blok politik ketiga di negara ini.

Pengumuman oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan itu disifatkan sebagai membina suatu kumpulan persefahaman kerjasama politik yang lebih tersusun dengan membawa model politik matang, terbuka bertanggungjawab, bersih dan sejahtera.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...