TERKINI :

Sunday, March 20, 2016

Masa kita hampir tamat, berpolitiklah ikut kehendak-Nya...

Oleh Lanh

SAYA terkesan dengan kematian beberapa rakan seusia baru-baru ini. Ada yang meninggal pada usia 50 tahun, 55 tahun dan sebagainya. Saya cukup bimbang, giliran saya akan sampai jua...persiapan kematian tiada...itulah yang mencemaskan...tetapi mati tetap menyusul!

Cendekiawan ada mengesyorkan kita menghitung dan muhasabah kehidupan berdasarkan bahagian tujuh tahun. Tujuh tahun pertama kita dalam usia kanak-kanak (7), kemudian remaja (14), anak muda (21), dewasa dan tua (28, 35, 42, 49, 56 dan 63 tahun). Nabi s.a.w. yang kita kasihi meninggal pada usia 63 tahun iaitu tahun pertama tujuh tahun kesembilan.

Jika hayat diikut berdasarkan umur Nabi s.a.w., saya ada baki beberapa tahun untuk hidup. Subhanallah, masanya terlalu singkat...apakah dalam tempoh pendek ini kita perlu dedahkan diri melakukan kesilapan termasuk dalam berpolitik?

Berpolitiklah tetapi kita perlu berada dalam landasan betul. Namun ramai daripada kita, perbuatan dan tindakan kita (seperti jatuh menjatuhi atau singkir menyingkir) mengesahkan tanggapan bahawa politik itu kotor; untuk berkuasa seseorang itu perlu bijak mencuri peluang sekalipun haram kerana matlamat menghalalkan cara (Machiavelli). Hakikatnya, politik tidak terlepas daripada hukum-hakam Islam yang menjadi adden (cara hidup) seseorang Muslim, tidak kira bangsa, kedudukan dan pangkatnya.

Dalam Islam matlamat tidak menghalalkan cara. Buatlah apa sekalipun, yang hak tetap hak dan yang batil tetap batil. Mendapat kuasa secara batil, tidak membawa apa-apa keuntungan, sama ada di dunia apatah lagi di akhirat. Merujuk kepada perkembangan semasa, kita berasa dukacita kerana tindak tanduk sesetengah pihak dan pemimpin tidak menepati undang-undang termasuk Perlembagaan Persekutuan.

Kini seluruh rakyat, termasuk generasi muda di bangku sekolah dan pusat pengajian tinggi sedang memerhati. Sesetengahnya didedahkan dengan urusan pentadbiran dan pengurusan negara antaranya membabitkan Perlembagaan Persekutuan dalam Pengajian Am Pra-Universiti. Mereka tahu bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara. Tetapi apa yang berlaku, mencabar minda; apa yang pelajari tidak selari dengan tindakan sesetengah pemimpin.

Generasi muda tahu bahawa Perlembagaan Persekutuan sebuah dokumen yang merupakan sumber segala perundangan lain yang wujud dalam negara dan mengandungi undang-undang tertinggi untuk mewujudkan satu sistem kerajaan yang teratur.

Jika undang-undang tertinggi ini dilanggar, tentunya ia mencelaru dan merosakkan pemikiran generasi muda yang bakal menjadi pemimpin. Jika pemimpin negara dan politik tidak dapat menunjukkan contoh baik, bagaimana golongan muda dapat diharapkan menjadi warga baik pada masa depan. Inilah yang kita bimbangi kerana bapa borek, anak rintik; guru kencing berdiri anak murid kencing berlari.

Kini terbukalah rahsia mengapa sesetengah pemimpin ini menolak mentah-mentah hukum-hakam Islam, malah memperlekehkan hukum hudud tidak lama dulu. Jika hukum manusia (Perlembagaan Persekutuan) pun tidak dapat dipatuhi malah dieksploitasi, bagaimana mereka dapat menerima hukum Allah SWT.

Apabila tidak melaksanakan hukum Allah SWT manusia jauh daripada barakah-Nya kerana di dalam undang-undang-Nya ada kehidupan.

Apa yang kita bimbangi penyakit rakus menjadi pemimpin dan gila kuasa golongan ini akan menyebabkan rakyat terheret sama kerana seluruh negara akan menjadi keluh kesah manakala fitnah bermaharajalela.

Kepada orang beriman, ingatlah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Wahai Abdul Rahman bin Samurah! Jangan meminta untuk menjadi ketua. Jika sesuatu jawatan diberi kepadamu kerana permintaan engkau, nescaya ia akan diserahkan kepadamu tanpa pertolongan. Sekiranya diberi kepadamu tanpa engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan." (al-Bukhari: kitab al-Ahkam)

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...