TERKINI :

Thursday, March 31, 2016

Malaysia dalam bahaya, Baju Merah jangan buang masa

oleh Edry Faizal Eddy Yusof
31 Mac 2016 | Roketkini.com

http://www.roketkini.com/wp-content/uploads/2016/03/edry_rencana-650x340.jpg 

Tengah hari tadi, kumpulan yang menggelarkan diri mereka Gerakan Baju Merah 1Malaysia yang diketuai Ali Tinju telah datang ke Ibupejabat DAP untuk menyerahkan satu memorandum. Saya telah diamanahkan menerima memorandum itu mewakili Ibupejabat DAP dan parti.

Melihat pertemuan ini merupakan peluang untuk mengajak pihak Gerakan Baju Merah agar melakukan sesuatu yang manfaatnya jauh lebih besar demi kebaikan rakyat kebanyakan, saya membawa bersama saya satu memorandum untuk diserahkan kepada Gerakan Baju Merah melalui Ali Tinju.

Memorandum saya itu bertujuan mengajak Gerakan Baju Merah untuk melihat permasalahan negara ini dari sudut pandang yang lebih luas. Selain memahami bahaya yang sedang mengancam negara ini.

Di bawah adalah kandungan memorandum saya itu:
31 Mac 2016
Memorandum Kepada Gerakan Merah Untuk Bersama-Sama Selamatkan Malaysia

Keadaan politik, ekonomi dan masyarakat Malaysia sedang tenat. Hal ini bukan sahaja difahami dan dirasai oleh watak-watak utama politik, tetapi turut menghantui kebanyakan rakyat negara tercinta ini. Keluh resah rakyat boleh didengar dari segenap peringkat. Malah melangkui sempadan usia, kaum, kepercayaan, tempat, parti dan kecenderungan politik.

Tanpa sedikit pun berganjak dari kepercayaan bahawa sistem politik sekarang yang merosakkan perlu melalui reformasi menyeluruh, kita tidak boleh menutup mata daripada hakikat bahawa sistem politik itu ada penggeraknya. Penggerak yang akan terus mempergunakan sistem politik sedia ada dengan lebih dahsyat dan melampau serta menjadi penghalang paling besar kepada usaha-usaha memperbaiki keadaan Malaysia. Selagi tidak dialihkan penghalang paling besar itu, sebarang usaha adalah ibarat membandarkan air ke bukit, sia-sia tiada berguna.


Penggerak yang dimaksudkan tidak lain adalah Perdana Menteri Malaysia pada ketika ini, Najib Razak dan konco-konconya.

Najib Razak bertanggungjawab ke atas skandal 1MDB yang menjejaskan imej negara, pengurusan ekonomi yang buruk, sekatan demi sekatan terhadap suara yang membantah, cubaan memusatkan kuasa kepada dirinya melalui penggubalan Akta Keselamatan dan kelibat salahguna kuasa demi menyelamatkan kedudukannya.

Malaysia sedang menyusuri jalan menuju ke arah negara gagal (failed state). Oleh itu, sepatutnya setiap rakyat tidak kira parti, kaum, kepercayaan, tempat asal dan kecenderungan politik merapatkan barisan perjuangan atas dasar kebersamaan, untuk menyelamatkan Malaysia.

Sekiranya terdapat ancaman luar yang mahu memusnahkan negara ini, tentu semua pihak akan berganding bahu menghadapinya. Maka adalah patut untuk kita turut berganding bahu menyelamatkan Malaysia dari ancaman dalaman yang bakal memusnahkan negara ini.

Oleh itu saya menuntut kepada Gerakan Merah untuk:

1. Bersama-sama menyertai GERAKAN SELAMATKAN MALAYSIA sebagai usaha menyelamatkan Malaysia daripada keadaan yang semakin membimbangkan, berpunca dari apa yang telah disebutkan di atas.

2. Bersama-sama menandatangani DEKLARASI RAKYAT sebagai tanda solidariti.

EDRY FAIZAL EDDY YUSOF
Ahli Jawatankuasa DAP Selangor
Ketua Sosialis Muda (DAPSY) Subang
Pengerusi DAP Bandar Utama

Malangnya Gerakan Baju Merah bukan saja tidak membaca memorandum yang diserahkan kepada mereka, malah terus memijak memorandum tersebut dengan marahnya. Malah tindakan provokasi mereka sudah bermula apabila menolak untuk menyerahkan memorandum mereka kepada saya hanya kerana saya berketurunan Melayu. Apakah yang sedang bermain di dalam otak mereka? Sekadar mahu cetus provokasi kaum?

Dalam mereka melaungkan seruan dengan sentimen Melayu seolah-olah mereka sedang perjuangkan nasib orang Melayu, mereka gagal melihat gambaran lebih besar, bahawa sekiranya negara ini menjunam menuju negara gagal (failed state), tiada sesiapa terkecuali. Tidak ada kaum tertentu yang boleh terselamat dari menjadi mangsa baik Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan atau Malanau.

Adakah Gerakan Baju Merah sememangnya tidak berminat dengan hal penting sebegini?

Atau sebenarnya mereka bersama pihak yang sedang merosakkan negara dan apa mereka lakukan hari ini hanya cubaan mengalihkan perhatian rakyat Malaysia daripada menyedari bahaya-bahaya yang mendatang?

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...