TERKINI :

Monday, March 21, 2016

KJ juga perlu disiasat berhubung isu penyelewengan RM100juta di KBS

KENYATAAN MEDIA
21 MAC 2016

KHAIRY JAMALUDIN PERLU JUGA DISIASAT BERHUBUNG SKANDAL PENYELEWENGAN PEGAWAI KBS

www.amanah.org.my

Selepas kecoh isu tajaan RM 1.4 juta untuk 191 orang exco Pemuda UMNO dan Ketua Pemuda Bahagian UMNO mengerjakan umrah oleh Menteri Belia dan Sukan yang juga Ketua Pemuda UMNO YB Khairy Jamaludin sepertimana pendedahan oleh salah seorang exco Pemuda UMNO saudara Nazir Hussin Akhtar Hussin, kini salah seorang pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pula ditahan pihak SPRM untuk siasatan skandal penyelewengan dana KBS sebanyak RM 100 juta.

Laporan siasatan tersebut amat memeranjatkan rakyat negara ini kerana di saat tahap kualiti sukan negara merosot dan dikritik, skandal ini mendedahkan bagaimana tuntutan kontraktor dibayar melalui MSN untuk program anjuran KBS yang tidak dijalankan atau tidak wujud. RM 100 juta adalah satu jumlah yang besar yang seharusnya dibelanjakan dengan penuh berhemah bagi menjalankan program pembangunan sukan yang merupakan segmen penting pembangunan negara.

Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap anak muda,  masalah pengangguran lebih 400,000 graduan negara ini boleh diatasi jika jumlah ketirisan tersebut dimanfaatkan sebagai insentif perniagaan di kalangan anak muda.

Seharusnya, Khairy juga perlu disiasat bagaimana skandal jijik seperti ini boleh didakwa dilakukan oleh pegawai di kementeriannya. Ini adalah kerana program-program yang didakwa tidak dilaksanakan atau tidak wujud dikatakan dianjurkan oleh kementeriannya. Adakah beliau tidak tahu perkara ini atau hanya membiarkan sahaja ianya berlaku?

Siasatan sebegini penting bagi membersihkan KBS daripada apa-apa elemen jenayah rasuah dan penyelewengan dana awam. Seksyen 25 akta SPRM 2009 menjadikan kegagalan melaporkan sesuatu perbuatan rasuah sebagai satu kesalahan. Justeru, beliau boleh disiasat.

Sepertimana ucapan Khairy dalam perasmian Perhimpunan Agung Pemuda UMNO yang lalu di mana beliau tidak akan memekakkan telinga terhadap isu penyelewengan, Pemuda Amanah dengan ini menuntut Khairy supaya tidak membisu daripada menjelaskan isu ini serta telus untuk disiasat.

FAIZ FADZIL
Timbalan Ketua
Pemuda AMANAH Nasional

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...