TERKINI :

Thursday, March 3, 2016

Kisah di sebalik Pondok Lanai

Kisah di sebalik Pondok Lanai
Allahyarham Tuan Guru Omar Zuhdi (kiri) ketika menghadiri satu majlis

BALING - Di sebalik terbinanya sebuah pondok tua di sini, ia sebenarnya menyimpan 1,001 keperitan hidup pengasasnya.

Madrasah Misbah Al- Falah atau lebih dikenali sebagai Pondok Lanai yang bertempat di Kampung Banggol Berangan, Parit Panjang bukan lagi pusat ilmu yang perlu diperkenalkan kepada umum.

Dengan usianya yang sudah mencecah lebih separuh abad, pondok yang diasaskan oleh Allahyarham Omar Zuhdi Salleh ini merupakan khazanah ilmu yang tiada nilainya.

Biarpun tuan empunya pondok ini sudah menghadap Ilahi, namun pada setiap tiangtiang kayu pondok yang masih utuh berdiri seakan terukir sejarah pengorbanan pemiliknya.

Pengorbanan beliau dalam menempuh perjalanan sebagai seorang alim ulama juga seakan- akan tertulis pada catatan kitab-kitab lama di sini.

Anaknya, Md Mukhtar, 56, berkata, sebelum pondok ini diasaskan, ayahnya yang dilahirkan di Pulau Tukang Dolah, Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada tahun 1919 menerima pendidikan awal dengan Tuan Guru Haji Abdul Ghani Pulau Berangan.

Menurutnya, selepas beberapa tahun menuntut di sana, ayahnya menyambung pelajaran ke Pondok Pisang, Kelantan dengan berguru dengan Tuan Guru Haji Ali Solahuddin ketika usianya 12 tahun.

“Selepas beberapa tahun di Kelantan, ayah saya merantau lebih jauh ke utara Semenanjung bagi meneruskan pengajian, namun ayah tidak menetapkan pondok mana dia akan pergi, dalam hatinya tetapkan matlamat untuk menuntut ilmu.

“Pada usianya mencecah 17 tahun, ayah meneruskan pengajian di utara semenanjung Malaysia.” katanya.

Md Mukhtar berkata, ketika itu ayahnya berhijrah ke Kedah dengan menaiki kereta api melalui selatan Thailand.

Menurutnya, tiba di utara tanah air, ayahnya turun di Padang Besar Perlis dan kemudiannya pergi ke Alor Setar.

“Di Kedah, ayah meneruskan pengembaraan ke Pondok Pak Cu Him di Gajah Mati, Pendang untuk menziarahi tuan guru di pondok tersebut selain mengambil kesempatan untuk menadah kitab.

“Selama ayah berada di sana, bila kehabisan duit untuk keperluan hidup, ayah akan mencari pendapatan sampingan dengan mengambil upah kerja kampung,” katanya.

Beliau berkata, selepas itu, ayahnya meneruskan lagi pengembaraannya ke Pondok Tuan Guru Haji Long Cemara di Jeniang dan menetap di sana selama setahun.

Katanya, perjalanan menuntut ilmu ayahnya diteruskan ke Pondok Tuan Guru Osman Jalaluddin di Penanti, Pulau Pinang dan kemudian berhijrah ke Pondok Tuan Guru Haji Yahaya Taha atau lebih dikenali sebagai Yayasan Al-Khairiah Baling pada hari ini.

Menurutnya, destinasi terakhir ayahnya ialah dengan meneruskan pengajian di Makkah sebelum pulang membuka pondok di sini.

Ikat perut dengan batu tahan lapar ,Othman, 61, yang merupakan anak keempat pula berkata, selama menuntut ilmu di setiap pondok berkenaan ayahnya akan ke Grik di Perak dan Weng Dalam di Baling bagi menambah pendapatan untuk menampung keperluan dan pengajian.

Menurutnya, apabila berjauhan dengan keluarga, kehidupan ayahnya bergantung sepenuhnya kepada kerja kampung antaranya mengambil upah menjahit atap orang kampung di Gerik dan upah mengangkut baja kelawar dari gunung sekitar daerah Baling.

“Ayah pernah demam panas ketika bekerja di Gerik, namun bernasib baik kerana mempunyai keluarga angkat di sana,” katanya.

Othman berkata, salah satu kisah diingatinya adalah di mana ayahnya terpaksa mengikat perut dengan batu ketika menuntut ilmu di Pondok Kampung Pisang, Baling.

Menurutnya, disebabkan ketiadaan wang, ayahnya mengikat perut menggunakan batu selama dua hingga tiga hari tanpa diceritakan kepada orang lain.

“Kisah ini diceritakan sendiri oleh tuan guru Pondok Kampung Pisang kepada saya, katanya perkara itu diketahuinya ketika menyuruh ayah membelah buluh untuk membina atap.

“Ayah saya memberi alasan tidak pandai membelah sedangkan dia boleh, namun ayah maklumkan dia hanya pandai meraut buluh. Ayah memberi alasan tidak mahu membelah buluh kerana takut kehabisan tenaga,” katanya.

Katanya, ayah juga pernah mengikat perut dengan batu sebelum menuntut di Pondok Kampung Pisang.

“Sewaktu ayah mendalami ilmu di Pondok Penanti ayah juga pernah berbuat sedemikian bagi menahan lapar,” katanya.

Beliau berkata, selepas menempuh kehidupan yang penuh onak dan duri, akhirnya ayahnya berkahwin dengan anak kepada seorang penduduk tempatan di Kampung Pokok Pisang.

Menurutnya, hasil perkahwinan itu, ayahnya bersama keluarga ibu berhijrah ke Makkah untuk menuntut ilmu ke peringkat lebih tinggi.

“Di Makkah ayah berguru dengan 10 orang alim ulama, mereka antaranya ialah Sheikh Ali Maliki, Sheikh Moktar Ator, Syeikh Hasan Maysat, Sheikh Almi dan ulama berasal dari tanah Jawa iaitu Sheikh Afnan dan Sheikh Kodir.

“Salah seorang dari gurunya di sana ialah Mufti Makkah ketika itu, panggilan Zuhdi yang ada pada nama ayah juga berasal dari perkataan zuhud, gelaran itu diberikan oleh gurunya di Makkah iaitu Tuan Guru ‘Abdul Rahman Jabad, seorang ulama Sufi,” katanya.

Seberang sungai Kuala Pegang dengan kuda Kisah Tuan Guru Omar Zuhdi juga tidak hanya terarah kepada jerih perihnya menuntut ilmu, malah beberapa perkara aneh turut dikatakan berlaku dan pernah dilihat sendiri oleh masyarakat tempatan.

Othman berkata, antara kisah yang pernah diceritakan sendiri oleh rakan ayahnya ialah di mana ayahnya menyeberangi sungai Kuala Pegang dengan kuda, biarpun kedalaman sungai itu boleh melemaskan orang dewasa.

Menurutnya, kejadian itu berlaku apabila rakit yang selalu digunakan untuk menyeberangi sungai tiba-tiba hanyut.

Perkara itu menyebabkan ayahnya mengambil keputusan untuk melintasi sungai itu dengan seekor kuda peliharaannya.

“Rakanya pada mulanya menjangka ayah sudah meninggal dunia selepas melihat dia bersama kudanya tenggelam, namun ayahnya bersama haiwan kesayangannya itu tiba ke seberang sungai dengan selamat,” katanya.

Tokoh tersohor yang begitu disayangi masyarakat ini meninggal dunia pada tahun 1994.

Dalam pada itu, Othman berharap semua generasi muda hari ini mengambil tauladan dari kisah ulama Tuan Guru Omar Zuhdi.

“Cerita yang saya sampaikan ini untuk memberi generasi hari ini lebih bersemangat walaupun sesusah mana pun mencari ilmu,” katanya

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...