TERKINI :

Tuesday, March 29, 2016

Ketepi perbezaan penting daripada kumpul petisyen

Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR - Semangat Deklarasi Rakyat yang berjaya mengetepikan perbezaan ideologi politik antara bekas pemimpin utama negara dengan pimpinan pembangkang jauh lebih penting daripada mengumpulkan petisyen itu.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, sesiapa sahaja yang akan mengambil alih tempat Datuk Seri Najib Tun Razak memikul tanggungjawab besar untuk mengembalikan keharmonian negara.

"Kalau ada perubahan kepimpinan, dia mestilah membawa seberapa banyak pihak duduk bersama (berbincang). Ketepikan segala perbezaan untuk letak kepentingan rakyat. Itu penting.

"Semangat itu lebih penting sama ada Deklarasi Rakyat berjaya menjatuhkan Najib atau tidak. Kesan Deklarasi Rakyat kepada negara lebih penting daripada boleh tandatangan atau tidak," katanya kepada Sinar Harian di lobi Parlimen, di sini, semalam.

Ahli Parlimen Pandan itu juga berkata, Deklarasi Rakyat memberikan satu dimensi baharu dalam usaha menyelamatkan negara daripada salah laku rasuah dan penyelewangan pimpinan negara.

"Pilihan raya juga pilihan Umno, bukan pilihan pembangkang untuk turunkan Najib. Kalau Umno berlengah dan tak berani berdepan dengan Najib sampai pilihan raya, maka rakyat akan hukum Umno dan Najib.

"Kalau Umno tak mahu dihukum, Umno kena bantu rakyat (turunkan Najib)," tegasnya.

Rafizi berkata lagi, sebaik-baik penyelesaian perkara ini ialah kesediaan Najib untuk meletakkan jawatan secara terhormat.

"Kalau dia tidak berniat buat begitu, Pakatan Harapan bertanggungjawab untuk turun bawa pencerahan ini dan maklumkan kepada rakyat.

"Deklarasi Rakyat ini ialah usaha yang kita buat sebelum ini. (Namun) ia tidak mengubah hala tuju perancangan Pakatan Harapan," katanya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...