TERKINI :

Saturday, March 26, 2016

Kes Aminulrasyid: Khalid perlu letak jawatan sebagai Ketua Polis Negara

https://3.bp.blogspot.com/-IXyGIswtl4M/VvVE3geJ7yI/AAAAAAAB7OE/QWTH4Mhh4u42M_yLmifkcKqadg3VZQvOg/s1600/kpn.jpg

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar didesak melepaskan jawatan sebagai langkah tanggungjawab terhadap kematian Aminulrasyid Amzah.

Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty, Eric Paulsen, berkata tindakan Khalid secara terang-terangan mahu melindungi pegawai bawahannya yang didapati bersalah terhadap kematian Aminulrasyid.

“Maklumat yang diberikan Khalid kepada media sebelum ini adalah satu percubaan untuk menyembunyikan kematian Aminulrasyid yang mati ditembak polis.

“Mahkamah juga telah mendapati Aminulrasyid mati ditembak atas sikap kecuaian Koperal Jenain Subi bertindak melulu dan bertentangan dengan piawai dalam perintah tetap Ketua Polis Negara.

“Kami mendesak Khalid bertanggungjawab dengan meletakkan jawatannya sebagai Ketua Polis Negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Khalid bersalah dan memerintahkannya untuk membayar ganti rugi RM100,000 bagi kemungkiran awam yang dilakukan oleh Khalid yang ketika itu Ketua Polis Selangor.

Ini berikutan kenyataan Khalid yang dibuat sehari selepas berlakunya kematian Aminulrasyid dengan mendakwa, polis telah menemui sebilah parang dan mendakwa Aminulrasyid cuba melanggar kereta polis.
Selain itu, keluarga Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati terkena tembakan polis enam tahun lalu, memperoleh ganti rugi RM414,800 selepas berjaya dalam tuntutan saman terhadap Koperal Jenain Subi dan empat yang lain.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membenarkan tuntutan itu selepas mendapati pihak keluarga mangsa berjaya membuktikan dakwaan mereka terhadap defendan.

Dalam penghakimannya sebentar tadi, Ahmad Zaidi berkata, setelah meneliti keterangan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati Koperal Jenain Subi bertindak secara melulu dan bertentangan dengan piawai dalam perintah tetap Ketua Polis Negara.

Saman difailkan oleh Norsiah dan kakak mangsa, Nor Azura Amzah terhadap Jenain, yang didakwa melepaskan tembakan dalam kejadian kejar-mengejar berkereta pada malam 26 Apr 2010; Ketua Polis Daerah Shah Alam pada waktu kejadian; Tan Sri Khalid; Ketua Polis Negara masa itu dan Kerajaan Malaysia, pada 17 April 2013.

Keluarga remaja terbabit menuntut ganti rugi hampir RM50 juta untuk kematian anak dan adik mereka yang didakwa akibat luka terkena peluru. Jenain disabit kesalahan oleh Mahkamah Sesyen kerana mengakibatkan kematian Aminulrasyid pada 13 Sep 2011. -FMT



Kes Aminulrasyid pengajaran buat penjawat awam salahguna kuasa

Salah laku awam oleh Ketua Polis Negara (KPN) dalam kes polis tembak Allahyarham Aminulrasyid Amzah boleh dikaitkan dengan saman yang dibuat oleh Tun Mahathir Mohamad dan dua yang lain pada Rabu lalu, terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak atas alasan sama 'misfeasance in public office'.

Pengerusi Kanun Parti Amanah Negara, Mohamed Hanipah Maidin berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam, adalah termasuk dalam kesalahan 'tort' iaitu kes di mana penjawat awam yang menggunakan kuasa awamnya telah menggunakan kuasa itu secara salah dan tidak sah.

Ia boleh mengakibatkan penjawat awam itu disaman seperti dalam kes adik Aminulrasyid.

"Kini kita sama sama menunggu giliran PM Najib yang disaman oleh Tun Mahathir juga atas alasan yang sama iaitu "misfeasance in public office"'dalam kes RM2.6bilion. Tunggu keputusan Mahkamah nanti insyaAllah." ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Hanipah menerangkan dalam kes mahkamah yang memutuskan polis yang menembak Aminulrasyid Amzah dan Ketua Polis Negara (KPN ) diperintahkan bayar gantirugi RM 414,800 kepada kakak dan ibu Allahyarham yang menjadi plaintif dalam kes saman tersebut.

"Yang saya nak kongsi di sini lebih kepada keputusan Mahkamah yang putuskan KPN kena bayar gantirugi (untuk beliau mahkamah arah bayar RM100,000.00) kepada plaintif kerana telah melakukan kesalahan tort yang dikenali sebagai "misfeasance in public office" (salah laku/kemungkiran dalam penjawatan awam)," ujarnya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam memerintahkan defendan, termasuk KPN, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk membayar ganti rugi kepada keluarga Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati terkena tembakan polis enam tahun lalu.

Terang Hanipah lagi, dalam kes Aminulrasyid ini, KPN disaman kerana beliau telah dikatakan melakukan tort "misfeasance in public office ". Macam mana KPN dikatakan telah lakukan tort itu ?

"Mahkamah putuskan KPN (pada masa tu beliau adalah Ketua Polis Selangor) bersalah melakukan kesalahan "misfeasance in public office" apabila beliau dalam sidang akhbarnya cuba melindungi salah laku polis yang tembak itu dengan mendakwa kononnya ada parang dalam kereta yang dipandu oleh adik AminulRasyid sedangkan Mahkamah putuskan tidak dapat dibuktikan parang itu wujud dan apakah motif guna parang kalau parang itu sendiri tiada.

"Jadi, untuk menyaman kes "misfeasance in public office" kita kena buktikan pelaku itu adalah seorang penjawat awam, dia telah guna kuasa awamnya,dan dalam penggunaan kuasanya itu, ia telah menggunakannya dengan salah dan secara tidak sah dan juga dengan niat yang jahat. Akhirnya akibat daripada penyalahgunaan kuasa itu, ia menyebabkan kerugian kepada mangsa.Giliran IGP menyalahguna kuasa awam telah disahkan oleh Mahkamah," terangnya.
-MD
ULASAN GB

Demikianlah hukum kebenaran dan keadilan berjalan.

Tan Sri Khalid Abu Bakar sudah pun menerima tamparan yang pertama. Diisytiharkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam sebagai "bersalah" kerana kemungkiran awam berhubung kematian remaja, Aminulrasyid Amzah yang ditembak oleh anggota polis, Koperal Jenain Subi enam tahun lalu.

Keputusan hakim berkenaan dibuat sehari sebelum Sambutan Hari Polis ke-206 yang jatuh pada hari ini 25 Mac 2016. Reputasi dan integriti Ketua Polsi Negara tercemar.

Justeru sewajarnya KPN meletakkan jawatannya.

Kita khuatir jika KPN tidak meletakkan jawatannya sekarang, maka hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan, pada masa itu KPN mungkin sahaja sudah "tidak berupaya" untuk meletakkan jawatannya secara "terhormat". Takutlah kepada ketentuan dan hukum Allah.

Sekadar nasihat dan peringatan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...