TERKINI :

Sunday, March 27, 2016

Kenapa Pas tak ambil peluang daripada krisis lawan?

 Abdul Hadi Awang
SHAH ALAM – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan semua pihak bahawa parti Islam itu bukan parti yang mengangkut penyokong dan pengundi tanpa perhitungan.

Beliau akui ramai yang bertanya soalan sama ketika parti lawan dan kawan sedang menghadapi krisis.

“Mengapa Pas tidak mengambil peluang? Perlu difahami bahawa politik perlu kepada perhitungan yang amat teliti dan mendalam.

"Kepada ahli dan penyokong setia Pas, saya tegaskan bahawa politik yang berlandaskan Islam wajib berakhlak bagi mencapai kemenangan, bersama hikmah yang ada hidayah kerana politik kita ada perhitungan dosa dan pahala.

“Matlamatnya pula tidak menghalalkan cara dan bukan untuk berlumba menjadi pemimpin semata-mata atau memikul amanah menjadi peluang untuk mengambil kesempatan bagi diri dan kroni tetapi amanah menyelamatkan umat dunia dan akhirat,” katanya.

Beliau turut memberi perumpamaan, nelayan yang bijak walaupun miskin, tidak menangguk di air keruh di mana ikannya bercampur belut, ular dan buaya yang membahayakan diri dan merosakkan jala bahkan boleh menenggelamkan perahu.

“Keadaan yang begini lebih baik menangguk di air jernih yang nampak manfaat dan dilihat mudaratnya, walaupun bersusah payah kerana pukat kita belum kukuh.

“Keadaannya boleh merosakkan pukat, memutuskan tali pancing dan kita masih berperahu yang boleh ditenggelamkan dengan mudah kalau dibedal buaya atau dipatuk ular,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengajak semua pihak memilih politik yang jernih dan matang bukannya menangguk di air keruh yang mengelirukan dan menyusahkan semua.

“Pas bukannya parti yang sifatnya angkut penyokong dan pengundi tanpa perhitungan. Makan diri kawan untuk naik. Angkut ahli sehingga menyusahkan diri. Nak cari setiap peluang tanpa perhitungan. Angkara dicipta sehingga menyusahkan rakyat. Hentam melulu tanpa tujuan yang betul

“Kepada pihak yang lain saya tegaskan, bahawa kita adalah parti Islam yang berpegang kepada al-Quran dan Sunnah bersama dakwah dan Siasah Syariah, berkepimpinan ulama dan ilmuwan yang wajib beriman dan budiman,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...