TERKINI :

Tuesday, March 29, 2016

KBS ‘pedas’ pula dengan projek cili RM19 juta berkaitan MIC

 
Kementerian Belia dan Sukan yang sebelum ini ‘panas’ dengan penyelewengan RM107 juta oleh pegawai kanannya kini ‘pedas’ pula dengan dakwaan berlakunya konflik kepentingan berhubung pembayaran dana RM19 juta untuk program penanaman cili kepada sebuah yayasan.

Ini kerana yayasan itu diketuai oleh timbalan menterinya, Datuk M Saravanan.

Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar, kerajaan mengesahkan dana diagihkan kepada Yayasan NAAM.

Menurut rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Yayasan NAAM atau Yayasan Gerakan Tindakan Afirmatif Baharu (NAAM) adalah sebuah syarikat berdaftar yang dipengerusikan oleh Saravanan dengan pemimpin MIC lain sebagai sebahagian daripada lembaga pengarahnya.

"Pemberian dana kerajaan kepada NGO yang dikuasai oleh parti politik adalah sama sekali tidak boleh diterima dan tidak beretika," kata Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming dalam satu kenyataan.

"Seseorang boleh bayangkan kekecohan yang akan timbul jika kerajaan negeri Pulau Pinang menyalurkan dana negeri untuk sebuah NGO yang dikuasai oleh DAP dan mempunyai kebebasan untuk menggunakan dana tersebut untuk menjalankan aktiviti politiknya.

"SPRM harus segera menyiasat NGO ini," katanya.

Sambil menuntut penjelasan daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy JamaluddinAbu Bakar, Ong berkata Yayasan NAAM tidak berada di bawah kawalan kementerian itu manakala akaunnya pula tidak diaudit.

Walau bagaimanapun, ketika dihubungi, Saravanan berkata dana berkenaan disalurkan melalui Jabatan Perdana Menteri dan bukannya Kementerian Belia dan Sukan.

Bercakap kepada Malaysiakini, katanya, Kementerian Belia dan Sukan hanya berperanan memantau bagi program berkenaan berjalan mengikut perancangan.

"Ong adalah ahli parlimen yang paling bodoh saya tahu. Beliau boleh bertanya kepada saya di Parlimen dan saya boleh menjelaskan tetapi sebaliknya beliau melakukan ini untuk publisiti politik," katanya.

Menurut Saravanan, tidak ada percanggahan kepentingan dan tidak ada yang salah bagi dirinya menjadi pengerusi yayasan itu.

Semakan di laman webnya mendapati bahawa program penanaman cili adalah sebahagian daripada program latihan pertanian yayasan itu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...