TERKINI :

Tuesday, March 1, 2016

Isyarat UMNO mesti ditumbangkan & NAJIB wajar bertahan sehingga PRU 14

Shahbudin Husin,

Bekas Perdana Menteri paling lama, Tun Mahathir Mohamad hari ini membuat keputusan yang mengejutkan iaitu sekali lagi keluar daripada UMNO sebagai tanda protes terhadap kepimpinan Najib Razak.

Katanya, beliau terpaksa keluar UMNO kerana parti itu kini hanya digunakan untuk mempertahankan presidennya sahaja.

UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang dulu, saya tidak boleh lagi jadi ahli parti yang begini, kata Tun Mahathir lagi.

Pada 2008 lalu, Tun Mahathir juga meninggalkan UMNO sebagai tanda protes terhadap kepimpinan Tun Abdullah Badawi yang ketika itu sarat dibelenggu dengan masalah dan karenah "budak-budak tingkat 4" dalam pentadbiran kerajaan.

Berikutan tindakannya itu, BN gagal mengekalkan majoriti dua pertiga pada pilihanraya umum kemudiannya dan Tun Abdullah akhirnya setuju untuk berundur pada 2009.


Sebaik saja Najib mengambil alih kelimpinan negara, Tun Mahathir turut kembali menyertai UMNO semula.

Selepas berbulan-bulan menekan dan mengasak Najib berundur berikutan isu skandal kewangan yang melibatkan dirinya, keluarnya Tun Mahathir daripada UMNO kali ini tidak lain sebagai isyarat bahawa beliau tidak lagi mahu menggunakan saluran parti itu dalam usahanya menyingkirkan Perdana Menteri.

Tun Mahathir melalui tindakannya ini dengan jelas mahukan UMNO dikalah dan ditumbangkan dalam pilihanraya umum akan datang yang akan diadakan kira-kira dua tahun daripada sekarang.

Sudah tentu dalam tempoh mulai sekarang hingga tarikh pilihanraya yang dijangka diadakan pada 2018 nanti, beliau akan terus bekerja kerja menjelalah ke seluruh negara bagi memastikan matlamatnya itu tercapai.

Secara langsung juga, Tun Mahathir sebenarnya mahu membuktikan siapa yang lebih diterima rakyat, sama ada dirinya atau pun Najib.


Maka, Najib seharusnya jangan mengalah dan teruslah memimpin UMNO dan negara sehingga keputusan pilihanraya diumumkan agar apabila tumbangnya UMNO dan BN nanti, namanya akan tercatat dalam sejarah sebagai punca runtuhnya sebuah kerajaan serta bakal menjadi sebutan anak cucu sehingga hari kiamat.

Oleh itu, siapa yang akan mengikut Tun Mahathir keluar UMNO tidaklah penting kerana yang jauh lebih mustahak ialah berapa ramai di kalangan rakyat dan pengundi yang sedia bersama-sama beliau dalam memastikan UMNO dan BN dapat dikalahkan dalam pilihanraya nanti.

Jika semasa beliau keluar UMNO pada kali pertama, keputusan pilihanraya merudum daripada 198 kerusi pada 2004 kepada 140 kerusi pada pilihanraya 2008, berbekalkan 133 kerusi pada 2013 lalu, berapakah yang tinggal pada 2018 nanti?

Di tangan rakyat dalam pilihanraya 2018 nantilah kata putus sama ada kerosakan yang sedang berlaku sekarang mahu terus dikekalkan atau dipulihkan secara total melalui pembentukan sebuah kerajaan baru. (SH 29/02/2016).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...