TERKINI :

Saturday, March 19, 2016

Isu rumah Guan Eng: Kit Siang alu-alukan siasatan SPRM terhadap anaknya

 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas transaksi pembelian banglo bernilai RM2.8 juta oleh anaknya Lim Guan Eng.

Katanya, sebarang dakwaan mengenai salah guna kuasa wajar disiasat.

"Apa yang penting ketika ini ialah pastikan SPRM mengambil serius semua dakwaan yang dibuat terhadap ahli politik tanpa mengira parti," katanya kepada media dalam Majlis Sambutan 50 tahun DAP di sini pada Jumaat.

Dalam nada sama, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah setuju dengan tindakan menyiasat Guan Eng tetapi SPRM perlu membuat tindakan sama ke atas ahli Parlimen Barisan Nasional jika terdapat dakwaan berkaitan.

Sebelum ini, SPRM Pulau Pinang dalam satu kenyataan memberitahu telah menerima aduan berkaitan isu pembelian banglo oleh Ketua Menteri Pulau Pinang YAB Lim Guan Eng, beralamat No. 25 Jalan Pinhorn, Pulau Pinang dan keterangan pengadu berhubung isu ini turut dirakam.

SPRM turut menjelaskan bahawa kes berkaitan pembelian rumah ini merupakan pendedahan baharu dan SPRM tidak pernah membuka fail sebelum ini.

Siasatan SPRM sebelum ini hanya berkaitan penyewaan rumah berkenaan dan bukan pembelian.SPRM yang sentiasa berpegang pada prinsip bebas, profesional dan telus, memberi jaminan akan menyiasat setiap aduan dan maklumat yang ada unsur rasuah tanpa pilih kasih.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...