TERKINI :

Saturday, March 12, 2016

Individu buat petisyen untuk keluarkan potret Najib terima ancaman


Individu yang memulakan petisyen dalam talian menggesa dikeluarkan potret Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dari dinding alma mater Universiti Nottingham di UK telah menerima ancaman terhadap dirinya dan keluarganya.

Seorang pengguna Facebook, Ab Jalil Backer, menggesa Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed untuk melihat tindakan yang perlu diambil terhadap Cassandra Chung, pelajar di Universiti Nottingham yang memulakan petisyen itu.

Bukan itu sahaja, dia juga menggesa orang ramai memberi maklumat kepadanya mengenai keluarga Chung.
"Sesiapa yang tahu mengenai keluarga ini boleh beri maklumat kepada saya.

"Kita mahu melihat sesuci mana pula keluarganya yang mampu menghantar anak ke luar negara ini," katanya dalam satu catatan di Facebook.

Beliau menyifatkan petisyen Chung itu sebagai satu penghinaan yang tidak dapat diterima oleh negara, dan mengingatkan bahawa Najib dipilih secara demokratik dan mengikut perlembagaan.

Beliau mendakwa bahawa tindakan Chung memulakan petisyen itu di luar negara dan membuat tuduhan palsu adalah satu tindakan pengkhianatan kepada negara.

"Suatu hari nanti tidak mustahil apabila pulang beliau akan mensabotaj negara sekiranya tidak bersetuju dengan pimpinan negara ketika itu," katanya.


Chung memulakan petisyen itu pada 8 Mac, untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 100 tandatangan untuk menyokong usul itu untuk dikemukakan kepada Persatuan Pelajar Malaysia di Universiti Nottingham.

Kurang daripada 30 minit sebelum tarikh akhir pada jam 11.59 malam untuk usul itu dikemukakan kelmarin, petisyen itu telah mengumpulkan 2,252 tandatangan.

Usul itu menggesa Persatuan Pelajar Malaysia melobi supaya dikeluarkan potret Najib setinggi dua meter dari salah satu dinding kampus, sebagai tanda protes terhadap dakwaan keengganan Najib untuk memberi penjelasan yang memuaskan berhubung deposit RM2.6 bilion ke dalam akaun bank peribadinya.

Jika usul itu, dengan disokong oleh petisyen itu, diluluskan, ia akan dibahaskan semasa mesyuarat agung tahunan (AGM) Persatuan Pelajar Malaysia di universiti itu pada 16 Mac.

"Kami telah mengemukakan usul itu dan buat masa ini, kita tidak akan menariknya balik.

"Kami sedang menunggu Persatuan Malaysia untuk meluluskan usul itu untuk dibahaskan di AGM minggu depan," kata Chung, seperti yang dilaporkan oleh Malaysian Insider.

Chung juga berkata dia tidak pasti sama ada Persatuan Pelajar Malaysia akan menerima usul itu kerana mereka perlu kekal neutral, walaupun mereka biasanya "sangat terbuka" kepada kebanyakan cadangan.

Walaupun bimbang dengan keselamatan keluarganya berikutan catatan Facebook Ab Jalil, Chung juga telah dimaklumkan bahawa Suruhanjaya Tinggi (Malaysia) sedang mencari nombor telefonnya.

Bagaimanapun, suruhanjaya tinggi belum lagi menghubunginya. [Baca berita penuh]

NOTA: Malaysiakini sedang menghadapi masalah teknikal dan buat masa ini memuat naik cerita sepenuhnya di Facebook. Untuk maklumat lanjut, sila ke www.malaysiakini.com.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...