TERKINI :

Monday, March 14, 2016

Husam perlu dikenakan hukuman setimpal - Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan

KOTA BHARU: Dewan Ulama PAS Kelantan mendesak parti itu mengenakan tindakan terhadap Datuk Husam Musa yang mengeluarkan kenyataan mendakwa pentadbiran PAS negeri ini pincang disebabkan individu tertentu.

Ketuanya, Datuk Hassan Mahmood, berkata kenyataan yang dikeluarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor dan bekas Naib Presiden PAS itu bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah mendatangkan kemarahan hampir keseluruhan rakyat Kelantan.

"Saya tidak tahu apa motif beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian, sedangkan perkara itu tidak benar. Apa yang jelas, parti perlu kaji dan hukuman setimpal perlu dikenakan.

"Beliau perlu jelas, sebarang keputusan membabitkan pentadbiran negeri Kelantan dibuat secara bersama, bukannya individu. Justeru, tidak timbul isu Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah lebih menonjol dan menjadi punca kepincangan dalam pentadbiran PAS Kelantan.

"Husam sepatutnya menyokong pentadbiran Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob serta timbalannya, kerana pelantikan mereka dibuat parti. Malah, semasa Husam menjawat jawatan naib presiden pun, kami semua sokong beliau tanpa ragu-ragu," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Husam tidak mempedulikan tindakan yang bakal dikenakan Jawatankuasa Tatatertib PAS terhadapnya apabila terus berkongsi pentas dengan Parti Amanah Rakyat (PAN) untuk menyerang PAS.

Beliau juga secara terbuka mendakwa segala kepincangan yang berlaku dalam kerajaan Kelantan sebenarnya berpunca daripada Mohd Amar dan menyarankan ADUN Panchor itu meletak jawatan.

Hassan berkata, Dewan Ulama PAS Kelantan bersama Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan (BBC) menyokong penuh pentadbiran Menteri Besar dan timbalannya kerana apa yang dilakukan kini adalah kesinambungan usaha Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Katanya, Ahmad dan Mohd Amar layak menerajui Kelantan dan tidak perlu gentar dengan desakan Husam.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...