TERKINI :

Saturday, March 12, 2016

Hasrat Kedah nak menang di Bumi Kenyalang terbantut, pintu gol bolos diminit 90 perlawanan

HASRAT Kedah untuk mengutip tiga mata penuh di Stadium Negeri Sarawak tidak kesampaian apabila terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dalam aksi Liga Super pada Sabtu.

Dalam perlawanan itu, Sarawak yang menghuni kelompok terbawah liga cuba mendapatkan gol awal menerusi beberapa cubaan, namun berjaya dihalang pertahanan Kedah.

Pada minit ke-18, Sarawak hampir mendapatkan jaringan pembukaan menerusi penyerangnya, Gilmor Jose, namun cubaan pemain itu berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol pelawat Farhan Abu Bakar.

Kedah yang turut dahagakan tiga mata penuh terus mengasak kubu tuan dan pada minit ke-40 umpanan cantik Liridon Krasniqi yang dirembat kencang oleh Baddrol Bakhtiar berjaya diselamatkan oleh Mohd Shahril Saari selaku penjaga gawang Sarawak.

Sebelum babak pertama melabuhkan tirai, pemain import Kedah dari Kosovo, Liridon yang terkenal dengan skilnya mengalami kecederaan akibat kekasaran sehingga terpaksa menerima rawatan di tepi padang.

Dua minit bersambung separuh masa kedua, Kedah hampir mendapatkan jaringan menerusi Liridon, malangnya rembatan kencang itu terus ke dakapan penjaga gol Sarawak.

Pasukan tuan rumah memperolehi peluang berharga pada minit ke-82 apabila dihadiahkan sepakan percuma di depan kotak penalti, bagaimanapun tendangan pemain pertahanannya, Davide Grassi hanya menggegarkan palang gol Kedah dan sekali lagi menghampakan 8,000 penyokong setianya.

Dua minit kemudian, kombinasi anak muda Kedah iaitu Farhan Roslan dan Syafiq Ahmad yang dimasukkan sebagai pemain gantian berjaya memecah kebuntuan jaringan.

Farhan berjaya menolak masuk hantaran Syafiq untuk menjadikan kedudukan 1-0.Kegembiraan pemain Kedah tidak panjang apabila Makeche Ndumba menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-91 untuk menjadikan kedudukan 1-1 sehingga perlawanan tamat.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...