TERKINI :

Friday, March 25, 2016

Datuk A Kadir Jasin - Saman Mahathir atas Najib timbulkan implikasi perundangan

Tokoh Wartawan Negara Datuk A Kadir Jasin menimbulkan pelbagai implikasi berikutan kes yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua yang lain terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Antara lain, Kadir dalam tulisan di blog semalam, berkata kes itu akan menguji sejauh mana rakyat biasa boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang penjawat awam politik.

Menurutnya, kes ini juga akan menguji kebebasan dan sikap sama rata sistem kehakiman negara dan sejauh mana tindak tanduk seorang perdana menteri “kebal” daripada tindakan undang-undang serta membuka perlembagaan dan tatacara pentadbiran awam kepada analisis dan interpretasi.

“Jikalau mahkamah bersetuju mendengar kes ini, plaintif boleh mencuba memanggil seramai mungkin saksi, termasuk wartawan asing yang mendakwa penyelewengan oleh Najib,” katanya.

Peguam yang mewakili plaintif, Mohd Khatri Abdulla, dipetik Malaysiakini, semalam berkata isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor boleh disapina sebagai saksi berhubung dengan tindakan undang-undang.

Mohd Khatri berkata selain Rosmah, beliau bercadang untuk mendapatkan sepina ke atas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak dan juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Mengulas lanjut, bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times itu berkata, beliau tidak menjangkakan jentera propaganda dan perang saraf Najib berupaya memutarbelitkan kes ini.

Ia kerana, katanya, mereka sendiri sedang bergaduh semasa sendiri mengenai siapa yang lebih setia dan berjasa kepada Najib dan siapa yang menjadi musang berbulu ayam.

“Saman awam ini juga boleh dilihat dalam konteks Deklarasi Rakyat yang mahu Najib disingkirkan sebagai perdana menteri.

“Ketiga-tiga plaintif adalah penandatangan deklarasi tersebut 4 Mac lalu,” kata Kadir.

Mahathir dan dua yang lain semalam memfailkan saman terhadap Najib bagi kemungkiran kewajipan fidusiari dan salah-laku tort misfeasance dalam jawatan awam.

Plaintif lain adalah bekas ahli Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin dan bekas Naib Ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Najib adalah defendan tunggal dalam tuntutan itu

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...