TERKINI :

Sunday, March 27, 2016

Dakwaan "DALANG", Ku Li mesti tampil dengan penjelasan...

Shahbudin Husin,

KU LI sewaktu bersama MAHATHIR & MUHYIDDIN suatu ketika dahulu
Berikutan tindakan Tengku Razaleigh Hamzah menandatangani Deklarasi Kelantan untuk  menyokong kepimpinan Najib Razak, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad mendakwa, Ahli Parlimen Gua Musang itulah dalang sebenar di sebalik usaha menyingkirkan Perdana Menteri sebelum ini melalui usul undi tidak percaya di Parlimen.

Katanya, disebabkan usaha itu kini tidak menjadi kenyataan, Tengku Razaleigh lalu mengubah pendiriannya.

Akhirnya dia yang cadang jatuhkan Najib, dia sokong Najib, kata Tun Mahathir.

Tentunya semua orang tertanya-tanya, benarkah dakwaan Tun Mahathir itu? 

Benarkan idea mengusulkan undi tidak percaya yang heboh diperkatakan tidak berapa lama dulu adalah merupakan cetusan daripada Tengku Razaleigh yang disampaikannya kepada Tun Mahathir?

Benarkah juga Tengku Razaleigh ada meminta Tun Mahathir pergi ke Sarawak untuk mendapatkan sokongan?

Sekiranya dakwaan ini tidak benar, adalah perlu bagi Tengku Razaleigh membuat penafian dengan segera mengenainya.

Jawapan sebenar mesti keluar daripada mulut Tengku Razaleigh sendiri, bukan daripada orang lain seperti Annuar Musa yang menyatakan dakwaan Tun Mahathir itu sebagai pembohongan.

Annuar Musa bukanlah dikenali sebagai orang Tengku Razaleigh dan hubungan mereka berdua juga tidaklah serapat mana, mungkin sekadar sesama Ahli Parlimen saja.
Semua orang masih ingat Annuar Musa juga tidak menyokong Tengku Razaleigh ketika pemilihan Presiden UMNO 1987 di mana bekas Menteri Kewangan itu tewas 43 undi di tangan Tun Mahathir.

Dalam beberapa percubaan Tengku Razaleigh untuk bertanding jawatan Presiden UMNO kemudiannya, Annuar juga tidak pernah memberikan sokongan mengenainya.

Jadi, jawapan Annuar untuk mewakili Tengku Razaleigh tidak relevan sama sekali.
Andainya benar pula dakwaan Tun Mahathir itu, bermakna Tengku Razaleigh tetap  mengidamkan kerusi Perdana Menteri itu sebelum ini.

Jika bukan untuk menjadi Perdana Menteri, untuk apa usul undi tidak percaya dilakukan?

Tetapi, dengan menyatakan sokongan terbuka kepada Najib, tidakkah ia bermakna harapan untuk menjadi Perdana Menteri sudah terkubur buat Tengku Razaleigh?

Tambahan pula, Tengku Razaleigh juga sudah pun menyatakan secara terbuka tidak mahu bertanding lagi dalam pilihanraya umum ke 14 ini.

Lalu, apa sebenarnya yang diharapkan oleh Tengku Razaleigh dengan menandatangani deklarasi menyokong Najib itu? (SH 26/03/2016).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...