TERKINI :

Saturday, March 26, 2016

Bubar Parlimen Awal Akan Selamatkan Najib...?

Nasaie Ismail·


Parlimen Malaysia berbaki dua tahun sahaja lagi iaitu sehingga Mei 2018. Najib mempunyai tempoh yang panjang untuk terus berkuasa dan melakukan sebarang perubahan untuk membeli hati pengundi. Namun tekanan kuat supaya beliau berundur sedikit sebanyak mengganggu beliau. Apatah lagi kesetiaan ahli ahli parlimen BN kepada beliau sukar untuk dipercayai sepenuhnya khususnya selepas penyingkiran Muhyiddin Yasin dan Mukhriz Mahathir. Maka tidaklah terlalu selesa untuk beliau menanti Mei 2018 kerana jika silap perkiraan beliau boleh tumbang sebelum tempoh tersebut.

Apa jalan yang berbaki boleh dilakukan oleh Najib untuk mempertahankan kuasanya?

Apabila saya menulis 'bubar parlimen' awal salah satu jalan Najib mempertahankan kuasa, bahkan boleh mendapatkan mandat baru yang lebih besar berbanding pilihanraya ke-13, ramai yang kurang setuju kerana bagi mereka jika bubar parlimen dengan segera, Najib akan jatuh lebih awal.

Mari kita lihat satu persatu dipihak BN. Penyingkiran Muhyiddin, Mukhriz dan Mahathir (penasihat Petronas) dilihat akan memberikan kesan terhadap menghakisnya sokongan kepada BN pimpinan Najib di Kedah dan Johor. Secara ringkas, ianya dilihat peluang yang mudah untuk pembangkang menawan kedua-dua negeri. Jika kedua negeri berjaya ditawan maka jumlah parlimen pembangkang pun akan bertambah dan BN akan tumbang diperingkat pusat.

Kedah pernah berhadapan suasana getir sebelum pilihanraya ke-13. UMNO Kedah tidak mempunyai tokoh yang kuat untuk menandingi parti pemerintah negeri Kedah ketika itu PAS dan PKR. Perpecahan di peringkat negeri dan bahagian sangat memuncak di Kedah. Kesimpulan mudah ketika itu, Pakatan Rakyat akan mudah mempertahankan kerajaan negeri walaupun ada beberapa krisis dalaman.

Muncul nama Jamil Khir sebagai Menteri Agama (JPM) yang akan dibawa pulang ke Kedah sebagai calon diperingkat dun dan bakal Menteri Besar daripada UMNO. Ramai melihat kehadiran Jamil Khir akan memecahkan UMNO Kedah dan bahagian Jerai apabila penyandang pimpinan utama di kedua peringkat sudah lama bekerja keras untuk mencalonkan diri masing masing. Maka kehadiran Jamil akan menjadi peluru yang memakan diri UMNO. Begitu juga kepulangan Azeez Rahim dibahagian Baling telah mengundang perpecahan UMNO Baling. Maka kesimpulannya apa sahaja peluru BN ketika itu akan menyebabkan mereka semakin melemah dan PR akan kekal memerintah Kedah.

Namun beberapa ketika sebelum pilihanraya, muncul nama Mukhriz Mahathir, pemain baru politik UMNO dan anak kepada tokoh berpengaruh UMNO sebagai calon bakal MB Kedah. Gerakan Mukhriz ini berakhir dengan BN berjaya menawan Kedah. Mukhriz menjadi Menteri Besar, Ahmad Bashah menjadi Timbalan Menteri JPM, Jamil Khir menang parlimen Jerai dan kekal sebagai Menteri Agama dan Azeez Rahim menang di Baling dan dilantik sebagai Pengerusi Tabung Haji. Semua yang berbalah mendapat habuan dan bersatu dalam pilihanraya. Walaupun ia bukan satu satunya faktor kemenangan BN, tetapi ia dikira strategi penting UMNO yang mesti diperhatikan. Kesimpulannya perpecahan UMNO BN tidak sepatutnya meletakkan pembangkang selesa untuk menang.

Berbalik kepada Najib. Tekanan kuat Mahathir, blok pembangkang, dalaman UMNO dan media-media antarabangsa meletakkan seolah olah Najib dipenghujung kuasa. Namun tidaklah semudah itu kesimpulan yang dibuat.

Najib mempunyai dua pilihan iaitu pertamanya menambah 'kawan baru' dan keduanya memecahbelahkan musuhnya.

1. Tindakan melantik Tun Abdullah Ahmad badawi sebagai penasihat Petronas selepas menyingkirkan Mahathir dilihat salah satu daripada caranya memperbanyakkan kawan baru. Samada Abdullah Badawi mempunyai ramai sokongan atau tidak bukanlah keutamaan. Pokoknya setiap tokoh ada pengaruh tersendiri dan apabila digabungkan kesemuanya, ia akan bertambah besar.

Keduanya Deklarasi Kelantan yang ditandangani beberapa tokoh 'bertelagah' di Kelantan untuk duduk dibelakang Najib suatu 'move' yang mengujakan. Apabila KuLi yang sejak awal mengkritik Najib tanpa henti boleh duduk bersama Mustafa Muhammad dan Annuar Musa untuk menyatakan sokongan kepada Najib, pasti ada 'rundingan' tertentu dibelakang tabir yang telah dilakukan oleh Najib. Pokoknya beliau berjaya menambah kawan baru dan mengecilkan saiz penentangnya.

Tidak pasti apakah pula 'move' Najib diperingkat Johor dan Kedah. Tidak susah menundukkan ahli politik yang misi politiknya ialah kebendaan berbanding prinsip yang kononnya selalu dilaungkan. Najib mempunyai kelebihan untuk menjinakkan mereka berbanding penentangnya Mahathir dan pembangkang.

Menambah kawan baru ini tidak semestinya kawan baru itu perlu menyokong Najib. Cukup mereka tidak menentang Najib pun sudah memberi manfaat yang baik kepada Najib. Maka melalui apa sahaja jalan untuk merapatkan Najib dengan ngo, ilmuan, agamawan mahupun parti parti politik pembangkang giat dijalankan secara langsung atas nama kerajaan atau menggunakan pihak lain sebagai penganjurnya. Pokoknya Najib dilihat mempunyai ramai kawan walaupun belum tentu mereka itu menyokongnya tetapi cukup tidak menentangnya. Setidaknya ia akan menjernihkan wajah Najib yang suram apabila dilihat bersama mereka itu.

Ada seorang lagi penentang Najib yang juga lebih kuat menentang Mahathir sebelumnya yang 'mungkin' boleh dijadikan peluang kepada Najib. Iaitu individu yang sedang dipenjarakan secara zalim di Sungai Buluh. Politik tidak meletakkan musuh menjadi musuh selamanya dan kawan menjadi kawan selamanya. Apa sahaja boleh berlaku apabila suasana mendesak kepada untuk menambah kawan dan mengurangkan musuh. Ia bukan perkiraan salah atau betul, tetapi ia adalah perkiraan politik untuk mempertahankan kuasa. Lihat penarikan balik fitnah Dato' Nalla terhadap Anwar seolah memberi isyarat tertentu. Namun ia bukan suatu fakta, sekadar ramalan sahaja.

2. Daripada segi memecah belahkan lawannya boleh berlaku kepada dua kumpulan. Pertamanya kumpulan Deklarasi Rakyat diketuai Mahathir dan keduanya parti parti politik pembangkang. Tengku Razaleigh Hamzah sejak awal sepentas dengan Mahathir dan Muhyiddin mendesak Najib berundur dan membebaskan Khairuddin Abu Hassan yang dilokap. Namun hari ini boleh duduk sebaris dengan Najib sebagaimana dinyatakan di atas. Apakah janji Najib kepada beliau tidaklah diketahui.

Parti parti pembangkang pada pilihanraya ke-13 bersatu atas nama Pakatan Rakyat. Hari ini berpecah kepada Pakatan Harapan dan keduanya wujud pakatan politik blok ketiga diantara PAS dan parti baru IKATAN yang ditubuhkan Tan Sri Kadir. PAS sebagai parti majoriti Melayu terbesar selepas UMNO selama ini telah berpecah selepas wujudnya Parti Amanah Negara.

Tulisan ini tidak membahaskan siapa salah siapa betul. Tetapi pokoknya pembangkang yang akan dihadapi BN telah berpecah. Maka dibeberapa negeri pastinya akan berlaku pertembungan tiga penjuru. Pertembungan tiga penjuru bukan sekadar akan menggagalkan usaha menawan Kedah dan Johor yang kuat memberontak ketika ini, tetapi tidak mustahil ianya akan menggugat Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang. Pokoknya jika Najib berjaya menawan salah satu daripadanya dalam pilihanraya akan datang, sudah cukup besar impaknya kepada mandat baru buat beliau. Maka musuhnya akan didiamkan dan Najib kekal memerintah.

Sehingga ke hari ini tiada jalan yang segera boleh dilakukan pembangkang untuk keluar dari lorong perpecahan tersebut. Maka ia masa yang baik untuk Najib melakukan pilihanraya berbanding memberi masa yang panjang kepada pembangkang untuk menyusun kembali gerakan mereka.

Hanya berbaki satu faktor sahaja lagi untuk Najib segera susun iaitu memastikan jentera BN disemua peringkat berjaya disatukan untuk berdepan dengan pembangkang. Kemudian parlimen boleh dibubarkan awal untuk mendapat mandat baru.

Maka selepas itu kekallah bermaharajalela pemerintah ini menekan rakyat.

Mohd Nasaie Ismail

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...