TERKINI :

Thursday, March 31, 2016

Bolehkah PM yang ada beribu-ribu juta dalam akaun peribadi dikekalkan lagi?

Shahbudin Husin,

Najib Razak hanya mula menjadi Perdana Menteri sejak 2009 atau kira-kira lebih enam tahun sehingga hari ini, tetapi barangkali rekodnya sukar ditandingi oleh mana-mana ketua negara dalam dunia ini dari segi kemasukan wang ke dalam akaun peribadinya.

Dalam hal yang satu itu, Najib bukan saja dianggap "juara" di antara semua Perdana Menteri Malaysia yang ada, bahkan boleh dinobatkan juga sebagai yang "terbaik" di peringkat dunia dan antarabangsa.

Jika sebelum ini,  kita mengetahui hanya RM2,600 juta yang diterimanya, konon dalam bentuk derma, namun hasil siasaan media antarabangsa menunjukkan jumlah yang lebih besar daripada itu.

Angka terbaru oleh ABC News menunjukkan jumlah yang dipercayai telah masuk ke akaun peribadi Najib sudah mencecah RM4,200 juta.

Wang itu pula bukan mula mengalir masuk pada 2013, tetapi sejak 2011 lagi iaitu tidak sampai pun dua tahun beliau memanaskan kerusi Perdana Menteri.

Pernahkah kita mendengar mana-mana Perdana Menteri ada rekod kemampuan seperti itu?

Sepanjang dunia ini wujud, sudah tentu Najiblah penerima derma tunggal terbesar yang pernah ada. Tidak pernah ada sebelum ini dan tidak mungkin ada selepasnya.

Itu, kalau kita mahu menerima bulat-bulat wang itu sebagai derma, bagaimana kalau ia bukan derma?

Oleh itu, bolehkah kita bayangkan jika Najib lebih lama menjadi Perdana Menteri atau terus kekal lagi selepas pilihanraya 2018 nanti?
Dengan wang yang sebegitu banyak, laporan terbaru media antarabangsa juga menyebut Najib telah membelanjakan sekitar RM60 juta untuk percutian, membeli belah dan barang kemas mewah yang dibelinya di Amerika Syarikat, Malaysia, Italy dan berbagai negara lain lagi.

Kalau pun benar semua wang yang diterimanya itu sebagai derma dan penderma turut memberi kebebasan untuknya berbelanja sesuka hati, bukankah disebut juga bahawa wang itu untuk kesederhanaan Islam dan memerangi keganasan antarabangsa?
Maka, kenapa sehingga RM60 juta digunakan untuk bercuti, membeli belah dan barang kemas? 

Tidakkah itu menunjukkan adanya elemen keganasan dalam membeli belah dan bermewah dalam diri Najib sendiri?

Secara moralnya, baik disudut Islam mahupun bukan Islam, adalah tidak beretika masa sekali bagi seorang Perdana Menteri memiliki wang sebanyak itu, baik sama ada ia derma atau apa jenis sekali pun.

Ia akan menimbulkan keraguan tentang sumber wang itu diperolehi serta keperluan memilikinya, apatah lagi jika didapati ia turut dibelanjakan untuk bermewah dan bermegah.

Sebab itu, dari segi penerimaan umum, prestasi Najib boleh dikatakan sudah musnah di kalangan rakyat biasa. Semakin sedikit yang menilainya sebagai pemimpin yang baik dan boleh diharapkan untuk masa depan negara ini.

Yang mempertahankan Najib bukan lagi kerana kepentingan negara dan rakyat, tetapi lebih kerana dedak sebagai upahnya. Dengan wang sebanyak RM4,200 juta yang dimilikinya, sudah tentu apa gred dedak sekali pun mampu dibekalkan, asalkan sedia menurut perintahnya.

Dan itulah yang dilakukan Najib. "Cash telah menjadikannya King".

Untungnya Najib ialah kerana rakyat negara ini terdiri daripada berbagai kaum dengan majoritinya pula adalah Melayu. Dengan itu, sentimen Melayu dan perkauman bila-bila masa boleh dimainkan atau dimanipulasi untuk menyelamatkannya.

Jika tidak, jangankan sehingga RM4,200 juta dalam akaun peribadi, diketahui memiliki sebanyak RM42 juta pun sudah lama membuatkan Najib terpelanting daripada kedudukannya.

Atas hakikat tersebut, mungkin lebih masa dan kekuatan diperlukan untuk menolak Najib yang akaun peribadinya bertambah RM4,200 juta hanya dalam tempoh enam tahun duduk di kerusi Perdana Menteri kerana di samping kesedaran kepada rakyat harus dipertingkatkan, beliau dan jentera-jenteranya dalam masa yang sama tidak putus-putus sedang berusaha melencongkannya ke arah lain. (SH 31/03/2016).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...