TERKINI :

Friday, March 25, 2016

Baling - Masya'Allah.. 7 bulan tinggal dalam khemah

Tujuh bulan tinggal dalam khemah

BALING - Sebuah keluarga terpaksa tinggal di dalam khemah sejak Ogos tahun lalu selepas rumah mereka di Kampung Lubuk Pedati di sini, musnah dipukul ribut.

Mohd Fauzi Abdullah, 44, berkata, segala barang kelengkapan di dalam rumahnya itu turut musnah akibat musibah itu.

“Akibat kejadian itu, saya bersama isteri dan adik tiri isteri terpaksa menumpang teduh di rumah jiran selama hampir sebulan.

“Dalam tempoh sebulan itu, kami menerima bantuan khemah yang didiaminya sekarang daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Kata Mohd Fauzi, dia ada membina rumah namun tidak mampu disiapkan kerana masalah kewangan.

“Sekarang rumah ini hanya ada tiang dan bumbung, tiang dan bumbung saya siapkan guna duit sendiri,” katanya yang hanya bekerja mengambil upah kerja kampung dan membela kambing sendiri termasuk milik orang lain.

Tambahnya, dia mengakui keselamatan keluarganya terdedah dengan bahaya selama tinggal di dalam khemah berkenaan yang berada di kaki Gunung Baling.

Menurutnya, haiwan berbisa seperti ular tedung dan kapak pernah menghampiri khemah beberapa kali sebelum ini, namun dia berjaya menghalaunya.

“Kebiasaannya haiwan-haiwan liar ini datang pada waktu malam, sebelum ini ada ular yang cuba masuk dalam khemah tetapi saya berjaya membunuhnya,” katanya.

Tanpa kemudahan asas yang sempurna, keluarga ini terpaksa memasak berhampiran khemah dan menjadikan air sungai sebagai sumber minuman.

Isterinya, Kamariah Salleh, 33, yang mengambil upah mengasuh anak berkata, dia reda dengan ujian ALLAH SWT kepada keluarganya dan sanggup tinggal di dalam khemah kerana tidak mahu menumpang dan menyusahkan orang lain.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lubuk Pedati, Abd Karim Md Zin berkata, pihaknya ada memohon sumbangan daripada beberapa pihak untuk membantu meringankan beban keluarga ini.

Beliau berkata, JKM ada menyerahkan khemah dan wang berjumlah RM3,000 selepas ribut dan juga bantuan bulanan RM100 kepada keluarga berkenaan.

“Saya harap ada pihak lain yang sudi tampil memberi sumbangan kepada keluarga ini untuk meringankan beban mereka,” katanya.

Bagi yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Rakyat 2207 2107 8484 atas nama Kamariah atau hubungi mereka di talian 013-4526870.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...