TERKINI :

Tuesday, March 29, 2016

Baling - Bayi derita tulang dagu mengecil

Bayi derita tulang dagu mengecil

BALING - Seorang bayi berusia dua bulan dilahirkan dengan keadaan tulang dagu mengecil, terpaksa bergantung sepenuhnya kepada tiub pernafasan untuk terus hidup.

Azizaimi Azali, 35, berkata, anaknya Nur Aisyah Nuha yang dilahirkan tidak seperti bayi normal, tidak mampu bernafas menggunakan hidung dan mulut.

Menurutnya, bayi istimewa itu juga dilahirkan tanpa ibu jari di kedua-dua bahagian tangan dan turut bergantung kepada mesin penyedut kahak.

“Jika dia berkahak atau telan air liur, proses pernafasannya terganggu, jadi untuk buang air liur dan kahak, dia bergantung kepada bantuan mesin itu setiap masa,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Kampung Tandop Pisang Parit Panjang, di sini, semalam.

Selain itu katanya, anaknya turut bergantung kepada bantuan saluran tiub untuk minum susu kerana keadaan lidahnya juga tidak normal akibat masalah yang dialaminya.

“Dia tidak boleh menghisap susu seperti kanak-kanak lain,” katanya yang mempunyai empat anak lain yang masih kecil.

Azizaimi yang hanya berniaga menjual ulam-ulaman sebagai sumber pendapatan keluarga turut berharap permohonannya untuk mendapatkan kad orang kurang upaya (OKU) dan bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat diluluskan.

Sementara itu, isterinya, Nur Azila Mohd Shamsuddin, 32, pula berkata, anaknya perlu menjalani rawatan setiap dua minggu sekali.

Katanya, pihak hospital memaklumkan Nur Aisyah Nuha berkemungkinan perlu menjalani rawatan sehingga umurnya mencecah lima atau 10 tahun.

“Doktor juga akan maklumkan semula kaedah pemakanannya selepas enam bulan,” katanya

Ibu kepada lima anak yang masih kecil itu berkata, sehingga hari ini dia sendiri masih belum pernah mendengar suara anaknya.

“Cuma dengar bunyi dengusan angin bila dia menangis atau saluran tiub tersumbat,” katanya.

Tambahnya, keadaan cuaca panas ketika ini menyebabkan anak kelimanya itu lebih mudah diserang batuk berkahak.

Bagi yang ingin membantu boleh salurkan menerusi akaun Agro Bank 2005 1010 0012 2719 atau menerusi Public Islamic Bank 47 2172 7009 atas nama Azizaimi atau hubungi mereka di talian 011-22000181 atau 011-22000182

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...