TERKINI :

Wednesday, March 30, 2016

Adun Kbg. Rotan & Penduduk sedang berusaha beli rumah untuk Fatimah

Penduduk beli rumah untuk Fatimah

ALOR SETAR - Sekumpulan penduduk di sini, akan melancarkan kutipan derma bagi membeli sebuah rumah untuk seorang warga emas yang mendiami bangunan terbiar di Pekan Kuala Kedah di sini.

Fatimah Zainal, 57, mendiami bangunan terbiar itu bersama anak lelakinya, Saibun, 28, sejak Mei tahun lalu selepas ditinggalkan suaminya.

Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa berkata, sehingga kini, Fatimah didapati masih berteduh di bangunan berkenaan.

Menurutnya, rumah itu akan dibeli selepas kutipan derma mencukupi.

"Sebanyak RM11,000 diperlukan untuk membeli rumah berkenaan," katanya.

Mohd Nasir berkata, pada mulanya, penduduk mahu membina semula rumah Fatimah di tapak rumah ayahnya, namun tidak dapat dilakukan atas sebab tertentu.

"Selepas itu, penduduk berusaha mencari kediaman bersesuaian dan menemui sebuah rumah yang ingin dijual sekitar harga RM11,000.

"Buat masa ini, deposit rumah itu sudah dibayar," katanya.

Katanya, pihaknya menjangkakan Fatimah akan mendiami rumah itu sebelum Aidilfitri nanti.

Sebelum ini, keperitan hidup Fatimah pernah disiarkan akhbar ini.

Fatimah yang menderita penyakit kencing manis mencari rezeki dengan mengambil upah memotong kepala ikan berhampiran bangunan terbiar itu selepas anaknya berhenti kerja kerana mengalami masalah kesihatan.

Bagaimanapun, kesempitan hidup dilalui anak-beranak itu mendapat perhatian Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Malangnya, LZNK berdepan kesukaran membina semula kediaman mereka apabila status tanah milik ayahnya tidak diketahui.

Namun begitu, LZNK tetap membantu Fatimah apabila meluluskan bantuan Fakir Bulanan sebanyak RM450 sebulan untuk bekalan makanan dan ubat insulin bagi penyakit kencing manis Fatimah.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...