TERKINI :

Sunday, March 27, 2016

400,000 rakyat Malaysia masih menganggur

400,000 rakyat Malaysia masih menganggur

SERDANG – Kira-kira 400,000 rakyat di negara ini masih menganggur dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

Jumlah itu direkodkan berdasarkan mereka yang mendaftar di laman portal Jobs Malaysia.

Ketua Pengarah Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Jeffrey Joakim berkata, bagaimanapun pihaknya akan mengusahakan bagi menempatkan sebahagian daripada mereka yang tidak bekerja di mana-mana industri yang menawarkan kerja kosong.

“Kadar pengangguran di negara ini adalah sebanyak 3.2 peratus, jumlahnya masih stabil dengan pertambahan peluang pekerjaan yang belum di sini," katanya.

Mohd Jeffrey berkata, cabaran wujud sama ada warga tempatan sanggup atau tidak menerima tawaran pekerjaan yang ditawar majikan.

Beliau dalam pada itu menggesa pihak majikan memberi tawaran gaji lebih baik supaya dapat menarik minat kepada mereka yang masih mencari kerja.

Gaji minimum ditetapkan undang-undang RM900 sebulan namun katanya, majikan seboleh-bolehnya digesa menawarkan gaji lebih tinggi daripada jumlah itu.

“Kalau majikan dapat berkorban sedikit dari segi tawaran gaji, saya rasa lebih ramai warga tempatan yang minat mohon pekerjaan ditawarkan.

“Bagilah gaji lebih sikit, tawarkan juga terma-terma perkhidmatan yang menarik, ini semua perlu ada pengorbanan daripada majikan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Karnival Kerjaya 2016 yang dihadiri kira-kira 10,000 pengunjung, hari ini.

Program anjuran Jabatan Tenaga Kerja Selangor dan Kuala Lumpur dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Umum dan Masyarakat Penyayang serta Maeps Management Sdn Bhd dirasmikan Pengerusi Maeps, Datuk Dr Mohamad Satim Diman.

Lebih 5,000 peluang pekerjaan ditawarkan oleh 52 majikan dan 10 agensi yang turut terlibat dalam program diadakan di Maeps Serdang itu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...