TERKINI :

Wednesday, March 9, 2016

10 perkara kata Kit Siang mengenai kerjasama dengan Dr M

WAWANCARA Deklarasi Rakyat yang ditandatangani Jumaat lalu telah menyaksikan dua musuh ketat politik - Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang - duduk semeja.

Walaupun matlamat bersamanya ialah untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, namun ramai tertanya-tanya bagaimana kedua-dua mereka boleh bersama selepas selama berdekad bertelagah.

Tambahan pula, tidak berapa lama dahulu Lim telah menyalahkan bekas perdana menteri itu terhadap semua masalah yang berlaku di Malaysia.

Malaysiakini menemubual pemimpin veteran DAP itu mengenai kontroversi di sebalik perikatan baru ini, dan berikut adalah jawapannya.

Soalan: Tidakkah anda merasa sebarang keraguan untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir?

Perbezaan antara kami adalah sangat jelas, ia sudah menjadi pengetahuan umum. Beliau telah bercakap tentang saya, saya juga telah bercakap tentang beliau. Apa yang saya cakapkan itu telah menjadi pengetahuan umum, jadi tak ada apa untuk saya tarik balik.

Tetapi apa yang penting kini ialah masa sekarang dan masa akan datang.

Tiada ada apa yang boleh kita lakukan tentang apa yang telah berlaku pada masa lalu, tetapi apa yang boleh kita lakukan adalah untuk memastikan masa depan.

Maka, jika semuanya tampil untuk bersama menyumbang bagi mencapai matlamat ini, maka ia adalah satu langkah ke hadapan.

Soalan: Jadi anda percaya dengan beliau?

Kami sedang bekerjasama, walaupun matlamat kami itu dan sejauh mana ia akan pergi, saya fikir tiada siapa yang boleh meramalkan masa depan.

Untuk setakat ini... keadaan negara memerlukan semua orang berada di halaman yang sama, selagi kita berada di halaman yang sama (maka) akan ada masa depan.

Soalan: Membandingkan masa lalu dengan sekarang, semua skandal yang Dr Mahathir hadapi, setiap perkara yang dilakukannya kepada institusi, apa yang berbeza?

Untuk itu semua, saya katakan bahawa tiada keraguan mengenai masa lalu, tentang peranan Dr Mahathir. Saya tidak mempertikaikan pandangan bahawa Najib tidak akan jadi apa yang beliau jadi pada hari ini kerana masa lalu

Tetapi persoalan hari ini ialah kita mesti berurusan dengan masa sekarang.

Soalan: Anda telah berkata bahawa Dr Mahathir adalah punca semua masalah ini, perlulah beliau dipertanggungjawabkan?

Setakat pandangan saya tentang Dr Mahathir dan sumbangan beliau kepada masa sekarang, (itu) ada dalam rekod, tetapi tidak ada keperluan bagi saya untuk mengulanginya.

Tetapi sesiapa yang boleh tampil menyumbang penawar untuk menyembuhkan situasi sekarang, ada peranannya.

Sudah tentu, ada pendirian lain bahawa tidak ada peranan apa pun bagi mereka yang telah menyumbang kepada kelesuan semasa negara, itu bukan pendirian saya.

Soalan: Anda menghentam Dr Mahathir, (Tun) Ling Liong Sik, (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) sejak berdekad lamanya, jadi, bagaimana perasan anda tentang bekerjasama dengan mereka sekarang?

(Kita seharusnya) tidak membenarkan masa lalu menghalang kita daripada memberi tumpuan kepada masa sekarang dan masa yang akan datang.

Jika kita boleh menjamin masa depan negara dengan sumbangan orang lain, maka saya rasa ia perlu dialu-alukan.

Soalan: Jadi, dengan melupakan segala-galanya?

Tidak, itu adalah perkara yang berasingan. Saya tidak fikir kita perlu meletakkan itu pada kedudukan yang sama.

Kita bercakap tentang sekarang, dan kita bergerak dari situ. Dan dalam proses ini, kita mesti juga mula menangani kesilapan yang lalu.

Soalan: Patutkah Dr Mahathir memohon maaf atas kesilapannya?

Itu adalah pandangan yang berbeza, saya serahkan kepada semua orang untuk menyuarakan pandangan mereka.

Saya rasa apa yang penting ialah kita bergerak ke hadapan, saya tak mahu kata ya atau tidak.

Soalan: Bagaimana dan yakin yang ahli dan penyokong DAP yang marah pada Mahathir, akan menyokong deklarasi itu?

Kita perlu menjelaskan (sebabnya) kepada mereka. (Rasa tidak puas hati mereka) itu dapat difahami, saya tidak terkejut, tetapi saya rasa apa yang penting ialah keikhlasan dan asas kita mendekati masalah ini.

Ia dapat difahami bagi mereka, yang telah begitu lama sudah mengenal pasti sesetengahnya sebagai (punca) masalah, mereka memerlukan lebih sedikit masa untuk menyesuaikan diri bagi memahami sebab-sebab dan rasionalnya.

Soalan: Tidakkah pembangkang bimbang kehilangan penyokong apabila berkerjasama dengan Mahathir?

Perkara yang fundamental adalah mengapa mereka menyokong pembangkang? Mereka mahukan perubahan, mereka mahu menamatkan semua ketidakadilan dan rasuah di negara ini.

Dan selagi mereka yakin bahawa objektif tersebut kekal tidak berubah, (mereka akan menyokong kita).

Apa yang kita lihat adalah perkembangan strategik dan taktikal, tetapi pendirian muktamatnya adalah sama, dan ia adalah dari rasa cinta dan semangat patriotik kita kepada negara.

S: Anda percaya Mahathir masih mempunyai pengaruh, ke atas siapa sebenarnya? Melayu? Umno?

Saya rasa kedua-duanya, dalam semua aspek. Semua orang mempunyai sesuatu untuk menyumbang melainkan jika dia seorang yang bukan entiti yang tidak mempunyai sumbangan, saya fikir beliau bukan begitu.

Walaupun ia telah berkurangan berbanding ketika beliau menjadi PM, beliau masih boleh memberi sumbangan.

Sudah tentu, masa lalu beliau masih di sana, kita tidak boleh menghapus masa lalu dan kita tidak mahu menghapus masa lalu, tetapi apa yang paling penting sekarang ialah masa depan.

Saya amat tertarik dengan tweet peguam Syahredzan Johan bahawa Winston Churchil dan Franklin D Roosevelt bekerjasama dengan Joseph Stalin untuk melawan Adolf Hitler.

Atau dengan Nelson Mandela, yang mesti mesti bersedia untuk gambaran yang lebih besar (semasa perjuangan Afrika Selatan menentang apartheid).

Apa yang sangat jelas adalah semua mereka yang tampil bersama adalah didorong oleh kebimbangan yang sama tentang perlunya mengetepikan perbezaan masing-masing untuk mencapai matlma nasional kita.

Tetapi bagaimana mampan atau berdaya majunya ia, dan sama ada kita akan tersimpang, hanya masa akan menentukan.

Saya fikir ia adalah satu usaha yang berani dan memerlukan sokongan rakyat Malaysia yang patriotik. Ia tidak akan menjadi kemenangan yang pasti, tetapi saya rasa, yang pastinya ia layak diberi sokongan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...