TERKINI :

Sunday, February 28, 2016

UMNO oh UMNO - Biar derhaka daripada setia melulu

oleh ku seman


Keyakinan saya terhadap krisis ketelusan UMNO kini semakin memuncak apabila sesuatu keputusan besar mengenai parti mendapat persetujuan "sebulat suara" daripada kepimpina tertinggi. Saya fikir hampir semua pemimpin UMNO khususnya yang menduduki kerusi Majlis Tertinggi tidak memahami implikasi keputusan "sebulat suara" yang mereka buat.

Saya ada juga membaca buku-buku tentang politik dan kepimpinan. Daripada pembacaan itu sebahagian besarnya menekankan debat sebagai satu kaedah untuk mendapat keputusan yang terbaik. Keputusan yang dibuat secara "sebulat suara" memperlihatkan sesebuah organisasi itu bukan sahaja tidak demokratik malah menghampiri ciri-ciri diktator.

Saya menyokong tradisi debat yang subur dalam politik di Amerika Syarikat. Melalui debat rakyat dapat melihat ketokohan atau kemuflisan pemikiran seseorang pemimpin. Tetapi di negara kita debat diberikan gambaran negatif, padahal mereka sebenarnya yang takut berdebat.

Oleh yang demikian saya yakin sebahagian besar pemimpin UMNO memilih "sokong" membuta tuli kepada pemimpin utama kerana menjaga kepentingan lain. Sikap "membuta tuli" inilah yang akhirnya terhasil semua keputusan yang dibuat adalah "sebulat suara."

Saya sangat hairan kerana sesetengah pemimpin UMNO dengan bangga menjaja bahawa keputusan menggantung Muhyiddin Yassin daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO dibuat secara "sebulat suara." Maknanya tidak ada hujah daripada ahli Majlis Tertinggi selepas Nazri Aziz mencadangkan Muhyiddin digantung atau dipecat daripada UMNO.

Organisasi apakah ini? Khabarnya umur sudah dekat 70 tahun tetapi mahu terus hidup dengan dokongan ahli-ahli yang "setia melulu". Malah berbangga dengan penerapan ciri-ciri diktator kerana semua keputusan dibuat secara "sebulat suara."

Jadi tidak hairanlah kalau esoknya di media penuh dengan kenyataan pemimpin-pemimpin UMNO memuji tindakan menggantung Muhyiddin. Saya yang tidak arif berpolitik ini tertanya-tanya apakah mereka ini dipilih oleh rakyat hanya untuk mengangguk seperti ayam yang menjadi pemakan dedak?

Percayalah UMNO bukan sahaja tidak akan ke mana-mana malah akan pupus kalau pemakan dedak terus diberi peluang bersarang dalam parti ini. Sekarang ini siapa lagi yang hendak percaya bahawa hanya UMNO yang menjadi dahan untuk orang Melayu kalau di dalamnya penuh dengan pemakan dedak?

Saya fikir UMNO kena kembali kepada teras iaitu memperjuangkan kebenaran. Jangan memperjuangkan setia membuta tuli kepada parti sedangkan ada sesetengah keputusan yang dibuat melanggar prinsip kebenaran. Dalam konteks ini saya sangat setuju dengan Muhyiddin di mana tindakannya dilihat tidak setia kepada parti (sebenarnya kepada Perdana Menteri sahaja) tetapi memperjuangkan kebenaran.

Saya tidak kata yang dibangkitkan oleh Muhyiddin itu suatu yang benar. Tetapi kalau yang dikatakan Muhyiddin tidak benar, apa yang benarnya? Pemimpin UMNO pemakan dedak tidak berupaya membuktikan Muhyiddin tidak benar. Saya akan setuju dengan pemakan dedak kalau berjaya membuktikan kenyataan Muhyiddin tidak benar.

Saya tidak menyertai pihak lain yang terus menyorong UMNO tenggelam ke dalam longkang di sebalik tulisan-tulisan mereka yang meminta semua orang setia kepada kepimpinan UMNO. Bagi saya ini bukan hendak menyelamat UMNO tetapi melongkangkan UMNO. Bagi saya lebih baik menjadi pembelot atau penderhaka daripada menjadi penyokong setia tetapi dungu yang membawa UMNO ke lembah kehancuran.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...