TERKINI :

Sunday, February 7, 2016

UMNO dan PAS perlu bersama jaya agenda negara

Penyatuan niat adalah kunci keramat perlu dimiliki bersama UMNO dan PAS dalam menjayakan agenda yang dirangka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menerusi Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) ke arah memupuk kesederhanaan.


Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GMMF, Nasharudin Mat Isa, berkata dua parti besar orang Melayu itu perlu duduk bersama bagi menjayakan agenda negara. "Saya tidak katakan kedua-duanya (UMNO dan PAS) perlu bergabung. Idea saya ialah pucuk kepemimpinan dua parti berkenaan duduk semeja membincangkan perkara sama.

"Kita duduk dan bekerjasama. Jangan tinggalkan usaha ini kepada parti politik semata-mata, malah mana-mana NGO (badan bukan kerajaan) yang mempunyai ruang juga perlu turut serta," katanya.

Ditanya sama ada beliau selesa berada di kedudukan sekarang, bekas Timbalan Presiden PAS itu berkata, ruang ketika ini membuka peluang lebih luas baginya menemui lebih banyak pihak yang merangkumi pelbagai organisasi.

Bersyukur kerana institusi bagi menjayakan agenda berkenaan sudah tersedia, bekas pensyarah undang-undang itu komited untuk melaksanakan tanggungjawab diberi dan berharap mendapat hasil terbaik demi manfaat negara. "Platform sebagai CEO di sini memberi saya ruang luas untuk menghampiri pelbagai agensi dan menemui pihak berkepentingan. "Perlu ditegaskan, saya bukan bekerja untuk UMNO atau PAS.

Saya akui, ada yang skeptikal dan sinis terhadap keupayaan saya, namun saya menerima jawatan ini kerana yakin dengan agenda berkaitan penyataan. "Saya selesa dengan apa yang dilakukan sekarang. Saya mempunyai akses kepada kedua-dua parti, UMNO mahupun PAS walaupun hakikatnya memang sukar untuk memuaskan semua pihak," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...