TERKINI :

Wednesday, February 3, 2016

Tiada bukti baju kuning memudaratkan

Bersih 4

SHAH ALAM - Tiada bukti menunjukkan baju kuning yang dicetak untuk dipakai pada Perhimpunan Bersih 4 tahun lalu memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan negara.

Peguam Edmund Bon yang mewakili Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah berkata, perhimpunan yang berlangsung selama 34 jam bermula 29 Ogos 2015 berjalan dengan lancar dan aman.

Menurutnya, larangan pemakaian baju kuning yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid dibuat pada 27 Ogos sedangkan perhimpunan itu dijalankan 29 Ogos.

"Bagaimana KDN boleh membuktikan ia memudaratkan sebelum perhimpunan dijalankan?" katanya pada prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.

Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan berkata, menteri mempunyai kuasa mengikut Subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 untuk mengeluarkan arahan mengikut Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (NO.22) 2015.

"Arahan mengikut peruntukan itu adalah untuk melarang pemakaian sebarang jenis baju berwarna kuning yang ada cetakan Bersih 4 dan sebarang jenis bahan bercetak serta pamplet yang membabitkan perhimpunan Bersih 4," katanya.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa kemudiannya memerintahkan peguam plaintif menghantar fakta berkaitan kepada sebelum Jumaat ini.

Mahkamah menetapkan 19 Februari untuk keputusan.

Pada 18 September tahun lalu, Maria, dan dua yang lain iaitu Masjaliza Hamzah serta Fadiah Nadwa Fikri memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membabitkan baju kuning BERSIH 4 dan pamplet mengenai perhimpunan itu yang bertarikh 27 Ogos itu.

Permohonan semakan kehakiman itu difailkan terhadap Menteri Dalam Negeri dan KDN.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...