TERKINI :

Tuesday, February 2, 2016

TERKINI : ADUN BN Kedah berkumpul di Hotel Grand Alora

ALOR SETAR: Sekumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Kedah, dilapor berkumpul di Hotel Grand Alora di sini, dipercayai untuk menghadiri perjumpaan khas berhubung krisis UMNO Kedah.

Berdasarkan maklumat, ketika ini seramai 17 daripada 21 ADUN mewakili BN negeri berada di hotel itu.

Empat yang tidak hadir ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga ADUN Ayer Hitam serta tiga EXCO kerajaan negeri yang diuar-uar cenderung menyokong Menteri Besar itu.

Mereka ialah ADUN Jitra, Datuk Aminuddin Omar; ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob dan ADUN Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor.

Dua ADUN BN mewakili MCA iaitu Datuk Dr Leong Yong Kong (Gurun) dan Chua Tiong Ghee (Kulim), turut hadir.

Turut kelihatan memasuki pekarangan hotel sama ialah Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan timbalannya, Datuk Ghazali Ibrahim, selain Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Yusof Ismail.

Ketidakhadiran empat wakil rakyat itu menguatkan spekulasi mengenai status perjumpaan di Wisma Darul Aman, semalam, yang diuar-uar gagal mendapat suara sokongan majoriti ADUN BN, sehingga memaksa ADUN pembangkang dipanggil menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Sehingga kini, motif perjumpaan belum diketahui, tetapi sumber dalaman UMNO mengakui ia ada kaitan dengan perjumpaan 21 ADUN BN dengan anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, semalam.

Ketika ini, ADUN pembangkang dilihat mula memasuki Wisma Darul Aman selepas semua 15 wakil rakyat membabitkan lapan daripada PAS, empat Parti Keadilan Rakyat (PKR), dua DAP dan satu daripada Parti Amanah Negara (PAN), masing-masing dijemput menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah sebentar lagi.

Difahamkan, beberapa ADUN PAS Kedah dijangka mengadakan sidang media mengenai pertemuan itu sebaik majlis menghadap selesai.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...