TERKINI :

Tuesday, February 23, 2016

Tan Cheng Hoe - Belum taraf tiki-taka tapi cuba kawal bola


Sejak mula mengendalikan Kedah Tan Cheng Hoe faham benar apa yang diingininya.

Dia mahu setiap pemainnya memberi fokus kepada aspek penguasaan bola pada setiap perlawanan kerana ia akan membuka peluang lebih besar untuk mereka membina gerakan dan memburu jaringan.

Sebab itu, kata Cheng Hoe, sejak mula lagi dia menekankan gaya hantaran-hantaran pendek di atas padang.

"Kaedah itu juga diambil sebab kami tidak mempunyai ramai pemain tinggi lampai.

"Dengan hantaran pendek, pemain lebih mudah menerima bola dan tidak kehilangannya dengan mudah," katanya kepada Malaysiakini.

Kedah menjadi antara pasukan tumpuan pada musim ini kerana beberapa faktor.

Satu daripadanya ialah kerana status mereka sebagai naib juara Piala Malaysia 2015.

Kemampuan skuad Helang Merah juga dikagumi ramai. Bermain di Liga Perdana, Kedah muncul membawa cabaran besar dan menumbangkang satu demi satu lawannya untuk tiba di perlawanan akhir Piala Malaysia dan mendepani Selangor.

Selepas persaingan musim skuad itu menjadi tumpuan lagi disebabkan gelora politik negeri itu yang turut memberi tempias kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Perlawanan sebelum ini pula menampakkan corak permainan Kedah seperti diamalkan kelab gergasi dunia, Barcelona, yang menggunakan gaya tiki-taka.

Bagaimanapun Cheng Hoe segera merendah diri.

Hadapi Kelantan selepas ini

Katanya corak permainan Kedah masih terlalu jauh untuk dibandingkan gaya tiki-taka.

"Kami tidaklah sampai ke tahap itu. Saya cuma tidak mahu pemain kehilangan bola terlalu cepat serta mudah dikuasai lawan.

"Tetapi itulah, dalam bola sepak banyak aspek sukar dijangka. Kalau pasukan lebih menguasai permainan pun belum tentu kita akan menang, tetapi yang penting adalah prestasi terbaik dalam pasukan," katanya.

Ditanya persediaan menghadapi perlawanan pusingan ketiga Piala FA, Cheng Hoe menyifatkan anak buahnya sedang menggalas cabaran besar untuk berdepan pasukan Kelantan.

"Kita tahu Kelantan antara pasukan kuat dan musim ini mereka disuntik dengan pengurusan yang lebih baik.

"Kita cuma ada sedikit kelebihan kerana bermain di tempat sendiri, tetapi ia (kemenangan) bergantung kepada persembahan pemain," katanya yang mencatatkan kemenangan 8-0 ke atas Megah Murni FC pada pusingan kedua Piala FA, Jumaat lalu.

"Kita tidak boleh berpuas hati dengan permainan sebelum ini dan saya sentiasa beri keutamaan untuk memperbaiki kelemahan pasukan.

"Begitu juga dengan rekod pertemuan dengan Kelantan sebelum ini tidak dijadikan ukuran," katanya.

Kedah bakal bertemu Kelantan pada aksi Liga Super 1 Mac depan sebelum sekali lagi bertarung di pusingan ketiga Piala FA tiga hari selepas itu di Stadium Darul Aman.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...