TERKINI :

Sunday, February 7, 2016

Serahkan hasil siasatan 1MDB kepada Raja-Raja – Mukhriz

mukhriz,1mdb
PETALING JAYA : Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir merayu Majlis Raja-Raja supaya mengambil tindakan segera ke atas siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mukhriz merayu kepada Raja-Raja untuk mendapatkan hasil siasatan daripada Peguam Negara, Gabenor Bank Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Katanya, penyerahan hasil siasatan kepada Majlis Raja-Raja adalah sejajar dengan titah Raja-Raja yang mahu siasatan terhadap 1MDB diselesaikan segera dan penemuannya dilaporkan secara lengkap dan telus.

“Jika ini tidak dapat dilakukan, atau berlaku campur tangan oleh pihak yang disiasat, atau laporan-laporan yang diterima tidak dipercayai, maka saya merayu kepada Majlis Raja-raja untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi mendedahkan kebenaran mengenai 1MDB secepat mungkin,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mukhriz mengingatkan bahawa titah Raja-Raja berhubung isu 1MDB adalah berpunca daripada rungutan dan keresahan rakyat terhadap kepemimpinan negara dalam menangani isu 1MDB.

“Perlu diingatkan bahawa kenyataan Majlis Raja-Raja berakar daripada cambahan rungutan yang disembah maklum oleh rakyat. Majlis Raja-Raja tidak akan mengendahkan aduan dan rintihan daripada rakyat jelata itu jika difikir ianya tidak berasas.

“Jelas sekali, apabila Majlis Raja-Raja mengeluarkan kenyataan yang ditujukan khas kepada Kerajaan Persekutuan mengenai 1MDB, ianya bukan sesuatu yang boleh diremeh dan tidak diendahkan,” katanya.

Mukhriz juga mempersoalkan adakah Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Najib Razak patuh kepada titah Majlis Raja-Raja yang mahu siasatan terhadap 1MDB diselesaikan segera dan penemuannya dilaporkan secara lengkap dan telus.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...