TERKINI :

Wednesday, February 3, 2016

Selepas Mukhriz undur pengguna media sosial persoal bila giliran Najib

 Rata-rata pengguna media sosial terutama juga rakyat Malaysia terkilan dengan peletakan jawatan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah susulan kemelut politik Kedah dan mempersoalkan bilakah nasib yang sama bakal menimpa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 3 Februari, 2016.
Peletakan jawatan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah hari ini mendorong pengguna media sosial bertanya bila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula akan meletak jawatan.

Ketika frasa "MB Kedah" mula trending di ruang maya Twitter, rakyat Malaysia menggunakan laman mikro-blog itu menyatakan kekecewaan mereka ke atas nasib yang menimpa Mukhriz.

Mereka mendakwa, rakyat sudah hilang sokongan terhadap Najib, namun beliau masih berkuasa tetapi seorang pemimpin seperti Mukhriz, yang menurut mereka masih mendapat sokongan orang ramai, dipecat.

"Rakyat nak tukar PM, Kedah MB kena tukar pulak. Yet another disappointment," tulis Wee Su Lin di akaun Twitternya @sulinwee.

Sementara huzairieyahyaa (@HuzairieYahya96) menulis: "We need new PM, not new Kedah MB (Kami perlukan PM baru, bukan MB baru)."

Seorang pengguna Twitter dengan nama @ajijudinnn turut menulis sajak pendek berbunyi: "Pergi kedai cari teh kundur, Ternampak Mukhriz membeli tauhu, Ku harapkan Najib undur, Tup tup dapat MB baru".

Sementara itu, pengguna lain mengejek menteri besar yang baharu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, memetik pengakuan beliau sendiri yang beliau tidak sama taraf dengan Mukhriz, yang memiliki ijazah dalam bidang pentadbiran perniagaan dari Sophia University, Tokyo, Jepun dan ijazah dalam bidang pengurusan dari Universiti Boston, Massachusetts.

"Tahniah Ahmad Bashah untuk jawatan MB Kedah yang baharu. This goes to say education means nothing when it comes to politics (Ini bermaksud, pendidikan tidak ada maknanya dalam bidang politik),” kata hilmy yakap (@hilmyyakap).

Mark Adam (@matkhadam) pula berkata, pelantikan Bashah membuatkan beliau teringin memohon jawatan sebagai menteri besar Perlis, berbekalkan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dimilikinya.

"Serius la Kedah mb baru ngaji takat srp ja? Aku pun nak apply jadi mb perlis guna spm ja la nanti," tulisnya.

"Motivasi hari ini. Jangan berhenti bermimpi. Think big (Berfikiran jauh). SRP can be a Menteri Besar (boleh jadi menteri besar). Kuikuikui Kedah MB," kata MHS @_secism.

Pengguna Twitter juga meramalkan pelantikan Bashah itu akan membawa kepada berakhirnya pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Kedah.

"Mukhriz diganti sebagai MB Kedah, BN boleh ucap selamat tinggal kepada Kedah dalam PRU14, jadi bergembiralah sementara masih ada,” kata Muhammad Irfan @muhd_irfaaan.

Pada 20 Januari, Bashah mengetuai sidang media yang terdiri daripada pemimpin bahagian dan sayap Umno di Kedah, mengisytiharkan tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz dan mahu Najib campur tangan menukar beliau.

Kemelut kepimpinan negeri itu tiba ke penghujungnya apabila Mukhriz mengumumkan peletakan jawatannya pagi ini, mengakui beliau tidak lagi memperoleh sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri. – 3 Februari, 2016.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/selepas-mukhriz-undur-pengguna-media-sosial-persoal-bila-giliran-najib#sthash.Ru7Em9bN.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...