TERKINI :

Monday, February 15, 2016

Reputasi kerajaan teruk tercemar angkara Najib

Pihak Kerajaan yang berkuasa selalu menggunakan beberapa institusi utama untuk kepentingandan menyambung hayat mereka- survival.


Institusi agama, pertubuhan kaum Melayu dan Institusi Raja-Raja pernah dijadikan penyambung hayat mereka dalam keadaan yang diperlukan. Dalam keadaan terdesak, terkini sebuah Institusi Diraja Arab Saudi telah diperalatkan. Kononnya "derma" RM 2.6 bilion adalah dari keluarga Diraja Arab Saudi.
Untuk makluman, institusi tersebut pada masa itu dikuasai oleh Almarhum Raja Arab Saudi yang telah pun mangkat. Orang puteh kata "Dead Man Tell No Tales" (Orang yang telah mati tidak boleh berhujah untuk pengesahan).

Bagaimanapun seorang menteri kanan, Menteri Luar Arab Saudi Adel Al-Jubeir menyatakan beliau tidak berfikir RM 2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib bukan derma politik daripada Kerajaan Arab Saudi. Beliau menyatakan bahawa wang tersebut adalah untuk satu pelaburan dan bukan derma.

Siapa bercakap benar?

Siapa yang tidak bercakap benar dalam hal ini? Apabila tidak boleh memperalatkan institusi diRaja tempatan, institusi diRaja Arab Saudi menjadi sasaran.

Satu harapan diletakkan agar Majlis Raja Raja akan menimbulkan lagi isu 1MDB pada mesyuarat mereka pada bulan ini kerana teguran mereka pada bulan Oktober lepas tidak diendahkan oleh pihak kerajaan pemerintah.

Penafian menteri luar Saudi terhadap kenyataan Datuk Seri Najib meletakkan Raja-Raja Melayu dalam keadaan serba salah untuk memperbetulkan situasi kerana hubungan keluarga diRaja Arab Saudi dan Raja-Raja Melayu perlu dipelihara.

Setiap kali Raja-Raja Melayu ke tanah suci mereka akan menjadi tetamu Raja Saudi. Hubungan baik di antara dua keluarga diraja ini perlu di jaga dan dipelihara.

Kalau Institusi diraja tidak boleh digunakan untuk menutup isu ini, adakah isu agama atau perkauman pula akan di bangkitkan? Isu Wahabi atau isu Bangsa Arab memusuhi dan menjejas maruah Melayu pula?

Adakah pihak ultra perkauman Melayu akan menuduh Arab dari Saudi menghina maruah Najib Razak sebagai seorang Melayu dengan menderma RM 2.6 bilion, dan kerana itulah sebahagiannya telah dipulangkan kembali! Inilah senario luar biasa yang mungkin kita hadapi di Malaysia!

Apa yang pasti ialah reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa telah teruk tercemar dengan isu derma RM 2.6 bilion serta skandal 1 MDB.


Kejutan masyarakat antarabangsa

Tunku Abdul Rahman telah mengharumkan nama negara di kalangan negara Islam sebagai pengasas dan peneraju O.I.C.

Tun Mahathir dikagumi sebagai Perdana Menteri yang memodenkan ekonomi dan menjadi contoh kepada negara Islam yang sedang membangun.

Tapi pentadbiran Datuk Seri Najib menjerumuskan Malaysia ke dalam pelbagai kontroversi antarabangsa.

Kenyataan Peguam Negara yang menutup kes 1 MDB dengan "mensucikan" Datuk Seri Najib, sementara negara asing pula sedang menyiasatnya dan cadangan hendak penjarakan seumur hidup pendedahan "rahsia" kerajaan telah mengejutkan masyarakat antarabangsa.

Jelas Malaysia telah hilang kredibiliti di peringkat antarabangsa dan dengan "ranking" rasuah di antara tertinggi di dunia telah membuat Malaysia menjadi negara yang sakit tenat "sick nation" di Asia.

2020 hampir jadi ilusi

Tabung Haji, MARA, Felda dan Wang Tabung Pesara Kerajaan dilanda pelbagai masalah dalaman kewangan. Setiap hari lagi banyak kenyataan kontroversi dikeluarkan oleh pemimpin Negara yang kelihatan semakin terdesak.

Allah tidak akan mengubah nasib mereka yang tidak berusaha untuk mengubah nasib mereka sendiri. Sehingga rakyat Malaysia mengambil tanggung jawab untuk menyelamatkan negara kita, kita akan terus hanyut dibawa arus kearah kehancuran.

Status negara maju Wawasan 2020 semakin hampir menjadi ilusi dan fantasi, yang mana setiap hari kita semakin jauh terkebelakang. Bangkitlah rakyat Malaysia dari mimpi yang ngeri ini kerana Malaysia telah hilang arah tuju serta nama dan sinarnya diperingkat antarabangsa. (LINK)

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...