TERKINI :

Monday, February 15, 2016

Rakyat menanti hasil Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-240

Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-240 yang berlangsung minggu ini sememangnya ditunggu-tunggu sekalian rakyat jelata negara ini.

Terlalu banyak isu besar yang timbul, yang mana membabitkan peranan Raja-raja selaku pemerintah di negara ini.

 majlis-raja2

Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma politik RM2.6 bilion ke dalam akaun Perdana Menteri adalah isu paling panas dan dijangka dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Bersangkutan isu panas terbabit, rakyat menunggu reaksi Raja-raja terhadap kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) dan menunggu sama ada suruhanjaya diraja akan ditubuhkan bagi merungkai isu berkenaan.

Pada masa yang sama, Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara yang didakwa anggota Parlimen blok pembangkang sebagai cubaan Perdana Menteri untuk merampas kuasa darurat Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan juga diramal mendapat perhatian mesyuarat berkenaan.

RUU berkenaan cukup panas perdebatannya di Parlimen pada penghujung tahun lalu dan kerajaan dilihat tergesa-gesa untuk meluluskannya.

Kandungan RUU itu juga menimbulkan kemusykilan terhadap tahap integriti Perdana Menteri dan kuasa yang diperuntukkan jelas amat luas. Ramai meminta RUU itu disemak semula dengan penelitian lebih terperinci dibuat termasuk perkataan-perkataan yang digunakan.

Paling menggerunkan ialah kembalinya kuasa penahanan tanpa bicara oleh pihak berkuasa menerusi undang-undang itu dalam mana-mana kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan keselamatan.

Isu ketiga yang dirasakan penting kerana membabitkan status dan kemuliaan Raja-raja ialah pemberian gelaran, pingat dan darjah kebesaran oleh individu yang mengaku diri mereka Raja.

Perkara ini sudah semakin berleluasa seperti yang selalu dilaporkan akhbar arus perdana milik parti pemerintah, di mana Raja-raja Melayu mesti memberikan perhatian.

Tindakan segelintir individu mengaku Raja dan menjual darjah kebesaran menyebabkan darjah kebesaran dan kemuliaan Raja-raja sebenar ditertawakan dan dipandang sinis orang kebanyakan.

Rentetan itu, polis mengambil tindakan menahan mereka yang tidak bertanggungjawab, manakala kerajaan mengambil inisiatif meminda Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan usaha ini memerlukan persetujuan Mesyuarat Majlis Raja-Raja untuk mewartakannya.

Ketiga-tiga isu panas itu memerlukan perhatian Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu untuk diberi perhatian dan pertimbangan kerana sudah menimbul rasa resah dan gelisah amat sangat dalam kalangan rakyat jelata.

Malah, beberapa hari sebelum Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-240, ‘sembang kedai kopi’ dalam kalangan rakyat semuanya membincangkan apakah titah Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu mengenai tiga isu panas itu. Adakah ia akan dibangkitkan atau tidak dalam mesyuarat dan adakah Raja-raja akan menggunakan kuasa mereka bagi menyelesaikan perkara itu?

Rakyat sangat mengharapkan kebijaksanaan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-240 untuk menghilangkan rasa gelisah ini, seperti mana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...