TERKINI :

Friday, February 5, 2016

“Rakyat didahulukan” bermakna rakyat ‘disembelih’ - Timb Presiden PAS

tuan-ibrahim-najib
PETALING JAYA: Slogan “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan” perlu digugurkan kerana rakyat terlebih dahulu ‘disembelih’ kesan pengurusan ekonomi dan permainan politik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mencadangkan slogan baharu “Segalanya Boleh, Asalkan Berkuasa”, Tuan Ibrahim dalam muatnaik Facebook terbarunya berkata keramat baharu itu bersesuaian kerana ia mencerminkan keadaan negara masa kini.

“Rakyat dibebankan dengan GST meskipun rakyat berteriak sehingga bisu membantahnya,” tulis beliau, “Rakyat diseru berjimat namun Jabatan Perdana Menteri mendapat peruntukan bertambah saban tahun.”

“Lihatlah projek terbaru PM di Kedah pula,” tambah Tuan Ibrahim, “bantahan daripada rata-rata rakyat yang menyokong Mukhriz diketepikan begitu sahaja.”

“Tidak syak lagi, ini maksud sebenar “rakyat didahulukan.””

Tuan Ibrahim menyifatkan rencana ekonomi Najib pada ketika ini telah gagal, dan kegagalan itu mengundang rasa bimbang beliau.

Tuan Ibrahim mengariskan dua projek kerajaan yang bermasalah, iaitu Felda Global Ventures yang menyaksikan saham yang dijual pada harga asal RM4.55 kini serendah RM1.64 seunit, dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

“Bayangkanlah pula kehidupan penoreh getah yang terpaksa merintangi harga getah di bawah paras RM2 sekilo yang kini masuk tahun ketiga. Ada sesiapa yang peduli?”

“Seperti GST, TPPA diwar-warkan baik untuk rakyat. Siapa pula yang akan bertanggungjawab nanti kalau Pak Menteri terbukti silap lagi…,” soal beliau.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...