TERKINI :

Monday, February 22, 2016

Rafizi - Apabila UMNO cuba korek balik isu CINCIN ROSMAH...inilah penjelasan

TUDUHAN SAYA MEMFITNAH DATIN SERI ROSMAH MANSOR MENGENAI CINCIN DAN KES-KES SAMAN TERHADAP SAYA


- Ada segelintir penyokong Najib Razak dan pemimpin UMNO yang gemar menuduh kononnya saya mengaku saya memfitnah Datin Seri Rosmah Mansor mengenai cincin beliau dengan memberi alasan saya "hanya bergurau" di dalam mahkamah.

- Mulanya saya tidaklah mahu melayan kerana saya tahu mereka diupah untuk mereka-reka cerita begitu. Namun, saya juga bimbang ada orang yang tidak tahu menahu dan tanpa usul periksa menyebarkan berita tersebut lalu terpalit sama.

- Saya tidak pernah kalah lagi di mahkamah setakat ini apabila disaman oleh pemimpin UMNO. Saya juga tidak pernah meminta maaf setakat ini. Kedua-dua kes saman oleh pemimpin UMNO terhadap saya yang telah selesai berakhir apabila pemimpin UMNO yang menyaman menarik balik saman tersebut.

- Kedudukan saman-saman terhadap saya adalah seperti berikut:

1) Saman Dato' Seri Shahrizat Jalil mengenai NFC - beliau menarik balik saman tanpa saya dipanggil memberi keterangan dan beliau tidak menuntut kos daripada saya. Kes ditutup.

2) Saman Dato' Seri Zahid Hamidi mengenai skandal Puspahanas yang diberikan kepada syarikat pemimpin Wanita UMNO - beliau menarik balik saman setelah kami (beliau dan saya) bersetuju penjelasan beliau bahawa beliau tidak terbabit di dalam keputusan LTAT membeli syarikat milik pemimpin Wanita UMNO itu adalah benar dan membuat kenyataan bersama. Saya tidak meminta maaf dan beliau tidak menuntut kos daripada saya. Kes ditutup.

3) Saman Dato' Seri Salleh Ismail (suami Dato' Seri Shahrizat Jalil) mengenai NFC - masih berjalan di mahkamah dan di peringkat kes plaintiff.

4) Kes saman Dato' Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor mengenai ceramah saya yang menyentuh isu subsidi dan harga minyak - masih berjalan di mahkamah dan di peringkat pengurusan kes (lihat penerangan lanjut di bawah)

5) Saman Saudara Khairul Azwan Harun mengenai kes pembelian hartanah MARA - masih berjalan di mahkamah dan menunggu peringkat mediasi.

6) Surat tuntutan oleh 1MDB mengenai kenyataan saya menyentuh dana 1MDB di Pulau Cayman - 1MDB tidak meneruskan dengan saman.

7) Surat tuntutan oleh Tan Sri Gani Patail mengenai kenyataan saya menyentuh dakwaan Tun Mahathir Mohamad bahawa ada sogokan dalam kes Pulau Batu Putih - Tan Sri Gani Patail tidak meneruskan dengan saman.

PENYATAAN PEMBELAAN YANG DIFAILKAN TERHADAP DATO' SERI NAJIB TUN RAZAK DAN DATIN SERI ROSMAH MANSOR

- Rujuk dokumen penuh Penyataan Pembelaan yang difailkan di mahkamah: KLIK SINI

- Tuduhan yang kononnya saya meminta maaf dengan alasan "hanya bergurau" memetik satu perkataan iaitu "jest" di perenggan 22 mukasurat 22.

- Lihat bagaimana perenggan dalam bahasa Inggeris itu diterjemahkan di dalam terjemahan dokumen yang sama di dalam bahasa Melayu: KLIK SINI

- Saya sertakan mukasurat-mukasurat utama dari Penyataan Pembelaan yang mempunyai maksud berikut:

1) Perenggan 5 menyatakan bagaimana tingkah laku Datin Seri Rosmah Mansor telah menjadi bahan bualan dan kritikan orang ramai dan pihak media kerana kedudukan beliau

2) Dalam perenggan 8, saya dengan jelas menegaskan sekali lagi bagaimana tingkah laku Datin Seri Rosmah Mansor sendiri telah menarik perhatian awam terhadap pembelian beg mahal, barang kemas dan kegiatan membeli belah beliau

3) Seterusnya dalam perenggan 8, saya telah memperincikan contoh-contoh tingkah laku beliau yang telah menarik perhatian awam itu seperti:

i - Dakwaan Deepak Jaikishen bahawa beliau membelanjakan RM13 juta untuk membeli barang kemas untuk Datin Seri Rosmah Mansor

ii - Paparan skrin dari sistem kastam yang menunjukkan satu cincin bernilai RM24 juta yang didakwa dibeli oleh Datin Seri Rosmah Mansor

4) Saya menyimpulkan melalui perenggan 8(c) dan 8(d) bahawa perkara-perkara itu terus menjadi bualan orang ramai dan telah membentuk persepsi di kalangan orang ramai bahawa Datin Seri Rosmah Mansor menjalani hidup mewah yang tidak sepadan dengan pendapatan keluarga beliau.

5) Perenggan 15 hingga 17 menjelaskan makna dan fokus ucapan saya mengenai harga minyak serta kesan keputusan Dato' Seri Najib Tun Razak memotong subsidi minyak.

6) Perenggan 22 menyimpulkan bahawa perkataan-perkataan yang mahu disaman bukanlah bermaksud literal seperti yang dituntut di dalam saman plaintiff-plaintiff. Sebaliknya ia adalah sebahagian dari ucapan yang disampaikan secara berseloroh yang memberi makna di dalam konteks keseluruhan ucapan saya. Ucapan saya perlu difahami secara keseluruhan mengikut konteksnya.

KESIMPULAN

- Dari Penyataan Pembelaan saya, jelas sekali bahawa:

1) saya tidak meminta maaf

2) saya tidak mengemukakan kepada mahkamah bahawa saya bergurau

3) saya menegaskan kembali persepsi masyarakat bahawa Datin Seri Rosmah Mansor gemar membeli belah beg tangan dan barang kemas yang mahal

4) saya mengingatkan plaintif supaya memahami keseluruhan ucapan di dalam konteksnya dan bukan dipetik satu perkataan secara literal untuk dijadikan alasan menyaman saya

- Saya percaya mereka yang bersikap jujur faham bahawa Penyataan Pembelaan saya di mahkamah tidaklah bermaksud saya meminta maaf kerana "hanya bergurau"

- Saya berharap Datuk Ahmad Maslan boleh mendidik cybertrooper UMNO supaya lebih menumpukan kepada isu yang saya bawa, bukannya mereka-reka cerita seperti ini untuk menutup kegagalan mereka menyangkal fakta yang saya bawa.

Saya mohon saudara/i sebarkan perkara ini untuk mengelakkan fitnah terpalit kepada orang yang tidak teliti dalam mencari fakta dan mudah percaya kepada tohmahan tanpa usul periksa.

SUMBER SELANJUTNYA : KLIK SINI

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...