TERKINI :

Thursday, February 25, 2016

Potong bajet JPM untuk selamatkan pendidikan negara – PKR

sim-tze-tzin_idris-jusoh_jpm_600
PETALING JAYA: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh tidak boleh bersembunyi di sebalik alasan penamatan 156 profesor di universiti awam (UA) baru-baru ini ialah kuasa autonomi universiti.

Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin berkata, penamatan itu jelas disebabkan pengurangan bajet untuk UA yang terkandung dalam Bajet 2016.

Dalam Bajet 2016, pemotongan peruntukan kepada UA adalah sebanyak RM1.4 bilion, dan Universiti Malaya (UM) mengalami pemotongan terbesar iaitu pengurangan 27.3% berbanding peruntukan tahun sebelumnya.

“PKR telah menyeru kerajaan agar tidak memotong peruntukan kepada UA tetapi seruan itu langsung tidak diendahkan. Ahli-ahli Parlimen kami juga cuba menghalang bajet yang tidak mesra rakyat itu daripada diluluskan di Parlimen tetapi tidak berjaya kerana sokongan kuat daripada Ahli Parlimen BN terhadap Bajet 2016.

“Natijahnya, yang menjadi mangsa sekarang ialah kaum pelajar kita di UA kerana bilangan profesor telah berkurangan, dan di antara profesor yang dipecat itu sudah tentu termasuk mereka yang sudah bersara tetapi sangat berpengalaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Kesannya, kata Ahli Parlimen Bayan Baru itu, UA akan menyimpang daripada sasaran pendidikan dan sibuk dengan usaha mencari pendapatan baru seperti membuka hotel dan sebagainya, seperti apa yang berlaku sekarang.

Beliau berkata, tindakan kerajaan memotong bajet untuk pendidikan adalah tidak bijak kerana memangsakan pelajar yang menjadi pelapis pemimpin negara.

Sehubungan itu, kerajaan perlu mengambil langkah dengan memotong peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk menyelamatkan bidang pendidikan negara.

“Kerajaan perlu memotong kos operasi, umpamanya pengurangan saiz Kabinet terutamanya di JPM yang kini mempunyai 11 menteri dalam jabatan itu, belum lagi mengambil kira timbalan menteri di JPM, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sendiri.

“Adalah lebih baik kos operasi gergasi di JPM dipotong sedikit untuk memanfaatkan golongan muda dan kaum pelajar,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...