TERKINI :

Saturday, February 6, 2016

Peguam Negara diminta senaraikan transaksi kewangan ‘bukan rasuah’

PETALING JAYA: Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali disaran menyenaraikan transaksi kewangan, terutamanya yang melibatkan ahli politik yang tidak lagi dianggap satu jenayah rasuah.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, definisi rasuah yang diperbaharui ini akan menjimatkan masa dan tenaga pihak polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasauah Malaysia (SPRM).

“Selain itu, ia juga menjimatkan masa timbalan-timbalan pendakwaraya beliau sendiri daripada menyiasat dan mendakwa orang yang tidak sepatutnya.

“Malah, perlu ada pindaan undang-undang terhadap statut dan buku-buku teks supaya tidak berlakunya ketidakadilan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lim berkata demikian ekoran tindakan Mohamed Apandi yang memutuskan derma RM2.6 bilion, skandal keluarga berbilang jawatan di Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) serta komisen ratusan juta untuk konsultasi pembelian kapal selam bukan satu kesalahan.

Mengulas lanjut, pemimpin DAP itu juga mempersoalkan yuran konsultasi yang diterima Abdul Razak Baginda iaitu sebanyak €30 juta (RM137 juta) untuk pembelian 2 kapal selam Scorpene dari Perancis.

“Adakah Abdul Razak Baginda layak untuk mengemudi dan merupakan pakar peralatan ketenteraan laut?” soalnya.

Selain itu, turut ditanya ialah sebab jabatan perolehan tentera laut tidak digunakan untuk membuat rundingan terhadap pembelian ketenteraan bernilai ASD1.2 bilion itu dan jikalau bayaran konsultasi itu dibincangkan di peringkat kabinet.

“Adakah para pembayar cukai menanggung bayaran konsultasi setiap kali kerajaan membeli peralatan canggih dan mahal. Berapa pula bayaran konsultasi setiap kali negara membeli jet pejuang, kereta kebal, kenderaan kalis peluru untuk para VVIP dan sebagainya?

“Bagaimana pula dengan jumlah cukai yang dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri terhadap bayaran €30 juta euro yang diterima oleh Abdul Razak itu. Adakah wujud sebarang rekod percukaian?” soal beliau lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...