TERKINI :

Friday, February 19, 2016

PAS Kedah buat keputusan nak letak calon di semua kerusi yang ditandingi PRU13 pada PRU14 nanti

Pas mahu tanding semua kerusi

ALOR SETAR - Pas Kedah mengambil keputusan untuk meletakkan calon di semua kerusi yang ditandingi pada pilihan raya lalu bertanding pada PRU14.

Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, pendirian itu dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor hasil perbincangan bersama pucuk kepimpinan parti.

“Setakat ini kita ambil keputusan, di mana Pas bertanding pada PRU13, akan bertanding lagi pada PRU14 nanti.

“Jika ada sebarang penambahan (kerusi), ia akan diumumkan oleh peringkat pusat,” katanya pada sidang media di Kompleks Pas Kedah, di sini, semalam.

Pada PRU13, Pas bertanding di 8 kawasan Parlimen dan 24 Dun.

Menurutnya, parti itu juga kekal dengan pendirian iaitu hanya akan berlawan dengan BN dalam mana-mana pilihan raya.

“Kalau ada pihak ketiga yang bertanding, merekalah yang memecahkan undi di kawasan itu,” katanya.

Tambahnya, Pas Kedah sentiasa mengatur aktiviti politik secara berterusan sehingga menjelang PRU14 nanti.

“Aktiviti kita dipelbagaikan dalam bentuk kebajikan, perpaduan kaum dan memperjuangkan hak rakyat.

“Kita tidak letak dengan hanya menganjurkan program besar baru nak mula. Kita dah lama mula, cuma pelbagaikan lagi aktiviti,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai hubungan Pas dan PKR, beliau mengakui ia masih berjalan lancar seperti biasa.

“Kita masih menunggu kenyataan daripada PKR sama ada nak beri komitmen kepada Pas Kedah dan serius dengan hubungan ini.

“Jika ada kenyataan yang jelas daripada PKR, ia lebih mudah untuk kita bergerak bersama seperti biasa,” katanya.

Mengulas mengenai kemelut berpanjangan parti pemerintah sehingga mengakibatkan pertukaran menteri besar, Ahmad Fakhruddin berkata, walaupun ia 'selesai' bebanan dihadapi rakyat negeri itu masih belum berakhir.

“Penderitaan rakyat ekoran tekanan ekonomi semakin parah dan menyeluruh. Para penoreh getah pula tertekan dengan kejatuhan harga komoditi yang sangat teruk dan pesawah mengalami kemerosotan pendapatan akibat pemotongan tinggi kesan dari pemutuan sebenar yang dilaksanakan kerajaan.

“Kedua-duanya merupakan kelompok terbesar rakyat Kedah. Bebanan kenaikan harga barang, khususnya barang keperluan harian sudah tidak terbendung,” katanya.

Menurutnya, parti pemerintah iaitu BN hendaklah menunaikan segala akujanji yang dibuat kepada rakyat semasa PRU13 lalu.

“Slogan ‘BN menang rakyat senang’ mesti diterjemahkan dalam realiti, bukan slogan kosong semata-mata. Sekaranglah masanya untuk membuktikan apa yang dijanjikan.

“Rakyat tidak mahu lagi mendengar alasan yang berbelit-belit dari kerajaan berhubung tekanan kos hidup yang melanda rakyat. Rakyat mahukan penyelesaian segera dari kerajaan,” katanya.

Ahmad Fakhruddin berkata, lebih mendukacitakan apabila rakyat sedang berhadapan tekanan ekonomi, para pemimpin politik Umno Kedah pula sibuk bercakaran.

Jelasnya, di peringkat nasional pula rakyat ditakutkan dengan pengumuman kerajaan yang mahu membawa masuk seramai 1.5 juta pendatang asing dari Bangladesh.

“Pelbagai masalah sosial timbul ekoran kedatangan pendatang asing dari pelbagai negara, kini kerajaan mahu menambahkan beban.

“Selepas Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dilaksanakan di negara ini mulai 2018, maka isu pendatang asing dan TPP akan menjadi serampang dua mata iaitu mempercepatkan penjajahan global terhadap Malaysia,” katanya.

Tegasnya, kesemua isu yang berlaku adalah disebabkan oleh ‘kebendulan’ kerajaan BN dalam menguruskan negara.

“Rakyat tidak boleh melihat dengan mata putih segala kebejatan yang berlaku, sedangkan impak buruk terpaksa ditanggung oleh rakyat.

“Rakuat harus menghentikan episod duka yang dipaksakan ke atas mereka serta membebaskan diri dari menjadi abdi tunggangan BN sepanjang zaman,” katanya.

Ahmad Fakhruddin turut mengajak semua rakyat menggerakkan kesedaran bagi ‘merehatkan’ BN dari persada kuasa akibat kegagalan mereka mentadbir.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor menjelaskan bahawa parti itu menghantar jemputan kepada wakil PKR untuk turut serta dalam karnival ‘Jom bersama Pas’ sempena ulangtahun ke-65 Pas Malaysia pada 17 hingga 19 Mac nanti.

Menurutnya, surat jemputan itu telah dihantar kepada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Tian Chua pada awal Februari lalu.

“Kita jemput mereka untuk sama-sama hadir memeriahkan program tersebut, namun setakat ini kita masih belum menerima pengesahan kehadiran mereka,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...