TERKINI :

Monday, February 8, 2016

Orang ramai tidak dedah rahsia jika kerajaan telus, kata Amanah

Pemimpin Parti Amanah Negara Mohamed Hanipa Maidin berkata jika kerajaan sedia ada mengamalkan ketelusan, orang ramai tiada sebab untuk berkongsi rahsia kerajaan dalam ruang awam – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Februari, 2016.
Rakyat tidak akan bertindak mendedahkan rahsia pentadbiran negara jika kerajaan sedia ada mengamalkan ketelusan, kata pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamed Hanipa Maidin.

Ahli Parlimen Sepang itu berkata, tindakan membocorkan rahsia pihak pentadbiran hanya berlaku apabila permintaan rakyat yang mahukan lebih ketelusan tidak diendahkan kerajaan.

"Apabila tiada budaya ketelusan, kebertanggungjawaban dan tadbir urus yang baik dalam menjalankan urusan, mana-mana negara dalam dunia akan menghadapi mimpi ngeri 'wabak Wikileaks'.

"Apabila hak untuk mengetahui yang sah tidak dilayan kerajaan, kerajaan sebenarnya membuka ruang kepada terbocornya rahsia negara," kata Hanipa dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang bercadang meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) bagi menghukum pengamal media serta pembocor rahsia yang melaporkan maklumat sulit kerajaan.

"Meminda OSA bukan penawarnya. Jika ketelusan benar-benar dijunjung, orang ramai tiada sebab untuk berkongsi rahsia kerajaan dalam ruang awam.

"Jika sebaliknya, tindakan berkongsi rahsia kerajaan tidak akan dipandang hina," katanya yang juga ketua Biro Undang-undang Amanah.

Menyifatkan Apandi tidak memahami sentimen orang ramai, Hanipa mencadangkan kerajaan memperkenalkan akta kebebasan maklumat.

"Sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan akta kebebasan maklumat dan bukan memperketatkan OSA bagi mencegah 'budaya Wikileaks'," katanya lagi.

Akta kebebasan maklumat membenarkan pendedahan sepenuhnya atau separa bagi sebarang dokumen kerajaan kepada orang ramai. – 8 Februari, 2016.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/orang-ramai-tidak-dedah-rahsia-jika-kerajaan-telus-kata-amanah#sthash.SO5AbsyW.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...