TERKINI :

Wednesday, February 10, 2016

'Najib kekal berkuasa kerana rakyat M'sia penakut'

 
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mendakwa rakyat Malaysia penakut dan tidak mempunyai keazaman untuk menolak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, tidak kira betapa buruk tanggapan mereka terhadap pentadbirannya.

"Kita semua penakut," katanya yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu ketika berucap di majlis mengingati ulang tahun pertama pemenjaraan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan Penjara Sungai Buloh malam tadi.

Anwar menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak penghakiman Mahkamah Tinggi membebaskan ketua umum PKR itu dalam kes Liwat II.

Dalam nada menyindir, Mat Sabu mengeluh bagaimana Najib akan terus berkuasa kerana rakyat Malaysia berdiam diri.

"Kita masih berdiam diri. Bersuara jantan tapi hati betina," katanya.

Dan kerana rakyat Malaysia penakut, katanya, rakyat dan negara, telah ketinggalan.

Mat Sabu berkata, walaupun Indonesia, Thailand dan Myanmar telah menyambut kejayaan transformasi politik, tetapi Malaysia tidak berubah.

"Sampai bila nak jadi begini?

"Kami merayakan kejatuhan orang lain tetapi (pemimpin bermasalah) kita, kita tak jatuh kerana kita sanggup ditipu," katanya lagi.

Mat Sabu mengakhiri ucapannya dengan menyeru kepada rakyat untuk bangun dan melakukan perubahan.

"Cis! Mari kita bangun!" katanya sebelum melontar mikrofon dan berjalan beredar dari pentas.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...