TERKINI :

Monday, February 22, 2016

Najib, jangan ‘buat-buat lupa’ titah Majlis Raja-raja

 tuan-ibrahim,apandi-ali,najib
PETALING JAYA: PAS mengingatkan kerajaan agar tidak ‘buat-buat lupa’ titah Majlis Raja-raja untuk mengkaji semula beberapa peruntukan dalam Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sudah pun menyatakan komitmen untuk berbuat demikian.

“Pada 18 Februari, Apandi berkata beliau akan mengkaji semula beberapa seksyen dalam RUU itu. Najib pula berkata beliau mengambil maklum desakan Majlis Raja-raja.

“Diharap Perdana Menteri dan Peguam Negara tidak menggunakan taktik membisu sehingga saranan Majlis Raja-Raja dilupakan sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mendesak Perdana Menteri dan Peguam Negara menunjukkan komitmen mereka terhadap titah tersebut dengan memperincikan pindaan yang dijangka akan dibuat serta tarikh pembentangan semula di Parlimen.

Menurut laporan Bernama 17 Februari lalu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan berkata, Majlis Raja-Raja berpendapat beberapa peruntukan dalam RUU MKN perlu diperhalusi.

RUU MKN yang diluluskan Dewan Negara pada 22 Disember 2015 dirangka bertujuan mengukuhkan aspek keselamatan negara, namun dikritik kerana didakwa memberikan kuasa yang terlalu besar kepada Perdana Menteri.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...