TERKINI :

Sunday, February 14, 2016

Mukhriz pecah lubang Najib lagi...kali nie bab tawaran jika beliau lepas jawatan MB Kedah..!!

Mukhriz dedah pernah ditawar jadi menteri

Mukhriz dedah pernah ditawar jadi menteri

JERLUN - Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menawarkan jawatan menteri di peringkat Pusat sekiranya beliau melepaskan jawatan menteri besar ketika Kedah berdepan krisis politik,
akhir Januari lalu.

Namun demi amanah yang diberikan rakyat Kedah, Adun Ayer Hitam itu tidak tergamak mengkhianati kepercayaan yang diberikan setelah menang dalam PRU13 lalu.

“Perdana Menteri berjanji melantik saya sebagai timbalan menteri dan selepas beberapa bulan ditawarkan jawatan menteri penuh, sekiranya saya setuju melepaskan jawatan menteri besar ketika itu.

"Saya tolak demi kepentingan parti, kerana mahu pastikan rakyat masih sokong BN pada PRU14 nanti,” katanya, ketika berucap pada program bersama Yayasan Prihatin sempena penyampaian zakat oleh Pharmaniaga kepada 125 asnaf di Dewan Kampung Kuala Jerlun, semalam.

Menurutnya, walaupun ditawarkan ganjaran sedemikian, beliau memutuskan untuk terus bersuara mewakili rakyat dengan membangkitkan isu-isu berkepentingan rakyat.

“Saya tahu pucuk pimpinan mahu saya digantikan atas sebab-sebab tertentu, namun saya pilih untuk tidak mengkhianati amanah rakyat Kedah. Jika saya terima, seolah-olah saya jual maruah. Saya tak tergamak,” katanya, yang mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Mukhriz turut memperjelaskan antara punca berlakunya krisis politik Kedah, antaranya berkisar kepada ucapannya membangkitkan kelemahan pucuk pimpinan dan parti pada sebuah program di Saloma Bistro, Disember lalu.

“Itu antara sebab saya disingkirkan, kritikan terhadap isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion. Perkara ini membimbangkan kerana berkait dengan integriti pemimpin kita,” katanya.

Menurutnya, bukan niatnya untuk menjatuhkan kerajaan, sebaliknya mahu mengukuhkan kedudukan BN yang kini dianggap lemah berikutan beberapa tindakan oleh pucuk pimpinan dipertikaikan rakyat.

“Sekiranya pelbagai isu itu tidak diatasi sebelum PRU14, BN akan berdepan masalah dan tidak mustahil pembangkang akan naik kelak. Saya akan berjuang habis-habisan walaupun terpaksa melalui pelbagai cabaran dan halangan,” katanya.

Mengulas mengenai tindakannya kebelakangan ini secara terbuka ‘menegur’ Perdana Menteri, Mukhriz bertegas akan terus menggunakan pendekatan itu berikutan saluran yang dibenarkan dalam parti disekat.

“Ketika bergelar menteri besar pun saya sudah mula menegur beliau, apabila tiada jawatan akan beri saya lebih ruang bersuara. Ada kalangan pemimpin kata, kalau mahu tegur ikut saluran betul, saluran mana lagi boleh kita tegur jika dalam Perhimpunan Agung Umno pun disekat. Saya tiada pilihan selain bercakap secara terbuka supaya pucuk pimpinan faham apa yang terbuku dalam hati rakyat,” katanya.

Ditanya mengenai perubahanpimpinan Umno Kedah yang menyaksikan pelantikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkuatkuasa Khamis lalu, Mukhriz berkata, beliau tidak dimaklumkan secara rasmi.

“Saya digugurkan sebagai Pengerusi Umno Kedah pun tidak dimaklum, itulah cara sekarang. Saya tahu menerusi WhatsApp sahaja, di mana keluar kenyataan mengenai pelantikan baharu, namun tidak disebut mengenai pengguguran saya,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...