TERKINI :

Monday, February 22, 2016

Muhyiddin bidas peguam negara takut ambil tindakan pada Najib

Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali kerana tidak berani mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam isu SRC International Sdn Bhd. – Gambar fail The Malaysian Insider, 22 Februari, 2016.
Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang disifatkannya tidak berani mendakwa dan menjalankan siasatan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai isu syarikat milik Kementerian Kewangan, SRC International Sdn Bhd.

Bekas timbalan perdana menteri itu mendedahkan, panel pengawasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri mengkaji semula perkara tersebut dan mempunyai kes yang kukuh terhadapnya.

"Tetapi pihak peguam negara beritahu, tak payah ambil kes. Tutup. Apa sebab? Peguam negara beritahu, perdana menteri tidak mengetahui tentangnya," kata Muhyiddin pada majlis di Port Dickson, Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Beliau berkata, Apandi sepatutnya memaklumkan kepada rakyat Malaysia, terdapat bukti mencukupi untuk tindakan diambil selanjutnya terhadap Najib.

"Takkan dia (Najib) tak tahu, dia dah belanja pun. Ada bukti-bukti. 3 juta bayar kredit kad. Dan bayar yang lain-lain.

"Dunia mempersoalkan kenapa peguam negara tidak mengambil tindakan," kata Muhyiddin dalam video yang dimuat naik di blog Din Turtle Original.

Muhyiddin mendakwa, Apandi mengarahkan kes itu ditutup kerana beliau tidak ada keberanian merangka pendakwaan atas Najib.

Muhyiddin berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohamed Noor Abdullah yang berkata, peguam negara tidak berani mendakwa perdana menteri kerana takut dipecat.

Noor berkata, peguam negara sebenarnya dicalonkan perdana menteri walaupun dilantik Yang di-Pertuan Agong.

"Saya rasa bekas hakim perlu menjelaskan ini dengan lebih lanjut," kata Muhyiddin.

Katanya, Najib tidak sepatutnya lepas daripada tindakan pendakwaan hanya kerana Yang di-Pertuan Agong melantik Apandi atas nasihat perdana menteri.

"Saya rasa itu bukan tafsiran yang betul dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya lagi.

Beliau berkata, rakyat Malaysia juga tidak sabar-sabar untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkara itu memandangkan peguam negara dan panel SPRM itu mempunyai pandangan berbeza.

Dua panel pengawasan SPRM juga mahu berjumpa Apandi berhubung keputusan beliau tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Najib tetapi pertemuan itu dibatalkan baru-baru ini.

Pada 26 Januari, Apandi berkata pihaknya tidak mempunyai bukti mencukupi menyokong tindakan pendakwaan diambil terhadap Najib atas sebarang kesalahan jenayah dalam kes RM2.6 bilion dan SRC International. – 22 Februari, 2016. 

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/muhyiddin-bidas-peguam-negara-takut-ambil-tindakan-pada-najib?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook#sthash.oIFUJ4jb.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...