TERKINI :

Saturday, February 27, 2016

Muhyiddin akan dipecat jika terus kritik Najib – Ku Nan

ku-nan-muhyidin
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin `tidak mustahil’ akan dipecat daripada UMNO jika beliau tetap meneruskan kritikannya terhadap Presiden parti Datuk Seri Najib Razak, kata Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

“Kita sudah pun menghantar surat laporan kepada Lembaga Disiplin (UMNO).

“Kalau dia terus dengan kaedahnya (membuat kritikan) yang menjejaskan parti, saya yakin Lembaga Disiplin boleh ambil tindakan untuk memecatnya (sebagai ahli),” katanya ketika ditemui wartawan selepas merasmikan Karnival Makanan Warisan 2016 di sini, hari ini.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam memutuskan untuk menggantung Muhyiddin daripada jawatan Timbalan Presiden sehingga pemilihan parti akan datang atas alasan gagal menjalankan tugas selaku Timbalan Presiden berdasarkan fasal 9.8.1 Perlembagaan UMNO.

Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan pemecatan itu tidak mengikut prosedur, memandangkan beliau tidak diberi surat tunjuk sebab dan peluang untuk membela diri.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga sekali lagi berkata yang beliau dihalang untuk menjalankan tugas sebagai timbalan presiden, seperti disekat untuk menghadiri program parti.

Tengku Adnan menafikan perkara itu dan berkata, MT sudah pun memberi amaran kepada Muhyiddin dalam mesyuarat sebelum ini.

“(Prosedur) apa yang tak ikut? Dia hadir dalam mesyuarat, dan kita telah sebut agar dia jangan ulang apa yang dia buat di ceramah (mengkritik Najib dan membangkitkan isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion). Prosedur apa lagi yang dia nak, saya tak faham.

“Mana ada dia dihalang ke program parti. Program mana? Program yang dia pergi sendiri pula bagaimana?” Soalnya.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa pemecatan tersebut tidak menyalahi prosedur dan berpandukan Perlembagaan UMNO.

“Kita ikut Perlembagaan. Dia tak jalankan tugas sebagai timbalan presiden dan rosakkan imej parti, (maknanya) kita tak perlukannya,” katanya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...