TERKINI :

Sunday, February 7, 2016

MENUNGU KEMUNCULAN ‘HANG TUAH’ DARI ‘SUNGAI BULUH’


Dalam keadaan kemelut negara yang sebegini meruncing, kita selalu meletakkan sejuta harapan agar keadaan negara kembali seperti keadaan sedia kala. Kita mengidamkan ekonomi negara tumbuh dengan segar. Kita mimpikan keadaan hubungan antara kaum terus menerus dalam keadaan harmoni seperti mana yang pernah kita kecapi dalam tahun-tahun sebelumnya. Kita mengharapkan agar suatu episod dalam sejarah Kesultanan Melaka akan berulang di negara kita yang tercinta ini.

Hanya pisang yang tidak akan berbuah dua kali. Peristiwa sejarah silam mungkin berulang. Kalaupun tidak sama bentuknya, akan muncul pula dalam bentuk yang mirip-mirip sama. Teringat pula tentang suatu episod sejarah dalam zaman kerajaan Kesultanan Melayu Melaka yang perlu direnungi, tentang kisah Hang Tuah difitnah kerana berkelakuan sumbang dengan gundik raja. Maka Sultan telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hang Tuah.

Kitab ‘Salalat al-Salatin’ menceritakan,

“ Maka fikir Seri Nara al-Diraja pada hatinya, ‘belum patut dosanya Hang Tuah ini aku bunuh.’ Maka disuruh sembunyikan oleh Seri Nara al-Diraja pada satu dusun, dipasungnya. Maka dipersembahkannya kepada raja, dikatakannya sudah dibunuh. Maka Sultan Mansur Syah pun diamlah.

Setelah sudah setahun lamanya, maka Hang Kasturi pun berkendak dengan dayang-dayang dipakai raja. lagi kesayangan dalam istana. Maka Sultan Mansur Syah dan Raja Perempuan turun dari istana itu, pindah ke istana lain. Maka Hang Kasturi dikepung oranglah. Maka Sultan Mansur Syah pun duduk pada sebuah balai kecil. Maka Bendahara dan Penghulu Bendahari dan segala orang besar-besar dan orang kaya-kaya sekalian hadir mengadap. Maka orang mengepung Hang Kasturi itu penuh berlapis-lapis, seorang pun tiada dapat menaiki Hang Kasturi.

Maka oleh Hang Kasturi semuanya pintu istana dikuncinya, suatu di hadapan Hang Kasturi juga dibukanya. Maka batil, talam kerikal, dulang gangsa sekalian dikaparkannya di lantai. Maka di atas talam batil itu ia berjalan. Maka perempuan gundiknya itu pun dibelahnya mukanya lalu ke perutnya, maka ditelanjangnya. Maka Sultan Mansur Syah pun memberi titah menyuruh menaiki Hang Kasturi. Maka seorang pun tiada bercakap.

“ Pada zaman itu Hang Kasturi bukan barang-barang orang. Maka Sultan Mansur Shah pun mengenang Hang Tuah. Maka titah baginda,’ Sayangnya Si Tuah tiada. Jikalau Si Tuah ada, dapatlah ia menghapuskan kemaluanku.” Maka Seri Nara Diraja diam mendengar titah itu. Setelah dua tiga kali raja mengenang Hang Tuah, maka sembah Seri Nara Diraja, “Tuanku, pada pemandangan patik sangat behena Duli Yang Dipertuan mengenang Hang Tuah. Jikalau sekiranya ada Hang Tuah hidup, adakah ampun Yang Dipertuan akan dia?”

Maka titah Sultan Mansur Syah, ‘Adakah Si Tuah ditaruh Seri Nara al-Diraja?”

Maka sembah Seri Nara al-Diraja, ‘ Gila apakah patik menaruh dia, dengan titah tuanku memnyuruh membuangkan dia? Sudah patik buangnkan.”

Maka titah Sultan Mansur Syah, ‘ Adapun jikalau ada Si Tuah, jikalau seperti bukit sekalipun dosanya nescaya kita ampun juga. Pada bicara hati kita ada juga Si Tuah pada Seri Nara al-Diraja.”

Maka sembah Seri Nara al-Diaraja, “ Sungguh tuanku seperti titah itu. Tetapi titah Tuanku menyuruh membunuh Hang Tuah itu pada fikir patik tiada patut Hang Tuah dibunuh kerana dosanya. Maka oleh patik-patik pasung, kerana Hang Tuah bukan barang-barang hamba, takut ada perkataannya ke bawah duli kemudian hari.

Maka Sultan Mansur Syah pun terlalu sukacita mendengar sembah Seri Nara al-Diaraja itu. Maka titah baginda,’ Bahawasanya Seri Nara al-Dirajalah yang sempurna hamba.” Maka Seri Nara al-Diraja dianugerahkan persalin sepertinya. Maka titah Sultan Mansur Syah,’Segera Seri Nara al-Diraja menyuruh membawa Hang Tuah ke mari.”

Maka Seri Nara al-Diraja pun menyuruhkan orangnya memanggil (Hang Tuah). Maka Hang Tuah dibawa oranglah ke hadapan Sultan Mansur Syah.”

Kisah ini berakhir dengan satu trajedi sedih dimana Hang Tuah terpaksa membunuh sahabatnya sendiri demi untuk menyelamtkan negeri Melaka yang huru hara disebabkan tindakan Hang Kasturi ( Hang Jebat – mengikut setengah hikayat lama).

Aku coretkan kisah sejarah ini memandangkan sudah begitu lama kemelut yang berlaku di negara kita berlarutan dan sudah sampai masa dan ketikanya memerlukan penyelesaian. Dan ‘ke barat, ke baruh, ke utara, ke selatan’ aku berjumpa dengan rakyat jelata, hampir sepakat mengatakan bahawa hanya ‘Hang Tuah’ yang kini berada di Sungai Buluh’ seorang sahaja yang dapat menyelsaikan keadaan kusut yang melanda negara ini. Tanyalah orang Melayu, tanyalah orang Cina atau India atau Iban, Kadazan maka jawapan yang diberikan oleh mereka adalah sama.

“ Menunggu kemunculan ‘Hang Tuah’ dari Sungai Buluh…’

abuhassanadam
6 Februari 2016

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...