TERKINI :

Monday, February 22, 2016

Menteri makin gila..Haritu minta ‘halal’kan ganja, harini lumba haram, esok apa?

Adnan
Jika baru-baru ini seorang pemimpin akar umbi UMNO mengeluarkan kenyataan supaya mengesyorkan pemindaan ganja daripada dadah terlarang, hari ini seorang pemimpin kanan parti Melayu itu pula mahu meng’halal’kan lumba haram.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pihaknya sedang berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, UMNO dan Barisan Nasional untuk melaksana program untuk ‘Mat Motor’ berlumba secara sah.

Berita itu menjadi johan segala berita pada hari yang suram ini.

Saya sendiri berasa terkejut dengan pengumuman itu. Menteri yang sepatutnya mencari penyelesaian mengurangkan aktiviti lumba haram tiba-tiba menjadi pejuang Mat Motor, jenama baharu yang diberikan kepada Mat Rempit.

Dalam berita yang sama, Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan menyatakan majoriti daripada Mat Motor ini bekerja dengan kerajaan sebagai PA (Pembantu Rendah Awam). Ia satu lagi fakta yang membuatkan saya, sekali lagi terkejut beruk!

Saya ingin tahu, dari manakah agaknya Datuk Seri mendapat data ini?

Saya bukan orang Kuala Lumpur tetapi saya tinggal dekat dengan Kuala Lumpur, iaitu di Klang. Pandangan peribadi, saya tidak merasakan mamat rempit yang suka menggunakan kedua-dua belah jalan raya sebagai medan lumba sehingga mencederakan pemandu lain itu bekerja dengan kerajaan. Saya tidak juga merasakan mereka manusia yang berhati perut, apatah lagi bekerja dengan institusi kerajaan.

Saya mungkin salah, tetapi kenyataan itu ternyata memberi persepsi salah dan serong terhadap kakitangan kerajaan yang selama ini dilihat sebagai berdisiplin dan elak daripada melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang.

Kalaulah saya kakitangan kerajaan, tidak kira tahap mana sekalipun, pasti saya akan rasa kurang selesa dengan tuduhan melulu itu. Tetapi entah benar atau tidak kata-kata Ku Nan dan saya pun bukan kakitangan awan, maka baik saya berdiam diri.

Kebimbangan utama saya dan saya percaya orang ramai terhadap cadangan ini ialah, apakah dengan cadangan seumpama ini, kita sedang menuju ke arah yang lebih baik atau sebaliknya?

Bukankah sebagai seorang menteri dan pemerintah, Ku Nan serta pihak yang terlibat harus menghapuskan aktiviti seperti lumba haram walaupun ia dikatakan satu-satunya hobi yang mereka ada(?).

Bukankah kerajaan sepatutnya memberikan mereka pilihan hobi yang lebih selamat dan sihat daripada meng’halal’kan lumba haram ini?

Saya takut jika pihak DBKL bersetuju dengan program Mat Motor (Mat Rempit) ini, aktiviti ini akan terus menular di kawasan lain yang jauh lebih ‘diam’ daripada Kuala Lumpur dan mamat-mamat rempit ini akan lebih berkuasa daripada pemandu awam seperti saya.

Bagi saya, pendekatan ini akan hanya meningkatkan lagi lebih ramai belia terlibat dalam lumba haram daripada menghindari aktiviti itu. Mereka akan jadi lebih berani kerana sudah ada satu platfom yang ‘sah’ di Kuala Lumpur untuk dijadikan titik rujukan.

Malah, idea untuk mempertimbangan sehari atau dua hari dalam seminggu untuk hari tanpa kenderaan bagi membenarkan Mat Motor berlumba pada waktu malam, sangat tidak masuk akal.

Datuk Seri, kita sedang bercakap tentang kota metropolitan Kuala Lumpur yang tidak pernah sunyi walaupun pada waktu tengah malam. Kita semua aktif bergerak dan beriadah dengan rakan-rakan dan keluaga pada bila-bila masa termasuk tengah malam. Takkan kami bersedia mengorbankan malam itu semata-mata untuk membenarkan mamat rempit bermaharajelela?

Tambahan pula, mereka bukanlah penunggang atau pemandu yang professional maka dengan memberikan lesen berlumba, lebih-lebih lagi di bandar raya, bukankah ia akan menambahkan kemalangan jalan raya termasuk sesama mereka sendiri?

Katakan, katakanlah mereka terlibat dalam kemalangan, siapakah yang akan bertanggungjawab? Adakah Ku Nan sanggup mengambil risiko? Apakah syarikat insurans akan membayar pampasan?

Malah, oleh kerana dijangka menggunakan jalan raya di Kuala Lumpur untuk program Mat Motor ini, apakah spesifikasi jalan komersial ini sesuai untuk dijadikan litar lumba?

Saya banyak keliru Datuk Seri!

Saya ingin tahu jika semua ini diambil kira sebelum Ku Nan tampil dengan idea tersebut atau ia sekadar dijadikan pencuci mulut untuk menambat hati mat rempit.

Saya juga berasa pelik bagaimana menteri boleh tampil dengan satu idea yang berpihak kepada segelintir kecil mat rempit membelakangkan pemandu awam yang jauh lebih ramai di jalan raya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...