TERKINI :

Monday, February 8, 2016

Kisah disebalik kejatuhan Mukhriz dari pandangan Zulkifli Yahaya

Oleh ZULKIFLI YAHAYA


Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir dipanggil mengadap oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah (JPSK) pada petang 1 Februari 2016 bagi memaklumkan bahawa penyandang jawatan Menteri Besar itu telah hilang majoriti dari kalangan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Ia dibuat selepas sesi pertemuan antara JPSK dengan kesemua 36 ADUN yang berlangsung selama dua hari.

Boleh saja untuk JPSK mempercayai pada sekeping kertas kenyataan akuan bersumpah yang dihulurkan oleh perdana menteri, berhubung mandat untuk pelantikan menteri besar. Namun JPSK memilih untuk bertabaiyun (mendapatkan maklumat yang lebih sahih) dari pihak terbabit.

Akibat kehilangan sokongan majority dari ADUN, pada sebelah malamnya Mukhriz mengadakan sidang media mengumumkan peletakan jawatannya selaku menteri besar. Sepatutnya Mukhriz meletakkan jawatan sejurus selepas 14 Umno bahagian hilang kepercayaan terhadapnya. Tetapi Umno bahagian tidak mempunyai apa-apa ‘locus standi’ dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah. Maka beliau tidak segera berundur sehingga disahkan hilang majoriti oleh JPSK.

Mukhriz didakwa hanya mendapat 16 sokongan, 17 menentangnya manakala tiga berkecuali. Kelebihan hanya satu undi. Siapa yang menyokongnya? Apa yang pasti, dirinya sendiri bersama Dato’ Aminuddin Omar Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan negeri. Dato’ Aminuddin mengisytiharkan sokongan terbuka untuk Mukhriz. Sumber yang rapat dengan Mukhriz mendedahkan dua lagi ADUN BN turut tidak hilang kepercayaan terhadapnya. Kedua mereka adalah anggota Exco.

Lagi pihak yang menyatakan sokongan untuk Mukhriz ialah 8 ADUN PAS dan 4 ADUN PKR. Sokongan dibuat secara terbuka - bukan kerana ideologi perjuangan Mukhriz tetapi tidak bersetuju beliau diturunkan melalui cara tidak beradab dan tidak bertatasusila.

“Dato’ Seri Mukhriz dinaikkan melalui laluan demokrasi maka proses menurunkannya juga mestilah dibuat mengikut amalan demokrasi, tidak gopoh, berperaturan serta menghormati kehendak rakyat,” ujar Ketua Penerangan PAS Kedah yang juga ADUN Alor Mengkudu, Ustaz Ahmad Yahaya.

Bagi PKR pula, tidak menyokong Mukhriz bererti menyokong Najib kerana memudahkan proksi mereka menjayakan agenda Najib. PKR mahu dilihat bersama rakyat yang kini menolak Najib. Berdasarkan sokongan; 4 dari BN, 8 PAS dan 4 PKR, maka jumlah 16 yang diperolehi Mukhriz adalah selaras.
BN mempunyai 21 ADUN. Apabila 4 berpihak kepada Mukhriz, maka tinggal hanya 17 ADUN BN yang menolak Mukhriz. Jumlah itu juga selaras.

Siapa pula 3 ADUN yang berkecuali? Dua dari DAP telah menyatakan sikap terbuka untuk berkecuali. Pendirian berkecuali dibuat kerana Mukhriz masih anggota Umno, justeru DAP rasa tidak perlu terbabit dalam pertikaian sesama Umno. Tinggal satu yang belum dikenalpasti ialah wakil tunggal parti Amanah, Dato’ Phahrolrazi Zawawi.

PAS, PKR dan DAP mendedahkan pendirian masing-masing kepada rakyat kerana tidak mahu menyembunyikan apa-apa dari pengetahuan rakyat yang memilih mereka. Dalam hal ini nampaknya mereka beramanah dengan rakyat. Parti Amanah pula menyembunyikan sikap dari pengetahuan rakyat. Selain dari Allah SWT, maka Phahrolrazi dan JPSK sahaja yang tahu apa sikapnya terhadap Mukhriz dalam pertemuan dengan JPRK itu.

Bagaimana jika tiga yang berkecuali itu menyokong Mukhriz? Maka sokongan untuknya jadi 19, cukup untuk mengekalkan Mukhriz sebagai menteri besar. Maka konfrontasi Umno Kedah terhadap Mukhriz jadi berpanjangan. Habis berselerak tabak Umno Kedah. Sekurang-kurangnya sehingga memaksa penentuan dibuat dalam Sidang DUN, melalui undi tidak percaya.

Mungkin akhirnya, Mukhriz terpaksa turun juga tetapi Umno Kedah ketika itu, kalau tidak sampai jadi abu pun, mungkin jadi arang. Rakyat tidak marahkan pembangkang kerana yang mencetuskan konflik adalah Umno. Rakyat marahkan Umno/BN.

Ada kemungkinan PAS dan PKR dipelawa oleh Mukhriz untuk membentuk kerajaan campuran. Namun PAS dan PKR tidaklah terlalu naïf untuk memusnahkan reputasi diri sendiri menyertai sebuah kerajaan yang rapuh.

Baik atau tidak bagi pembangkang untuk melakukan strategi supaya musuh politiknya terus berkonflik? Ini soalan bodoh yang tidak perlukan jawapan!

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...