TERKINI :

Thursday, February 25, 2016

Kami profesional dalam kes babitkan PM, kata panel SPRM


Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Tan Sri Dr Hamid Bugo berdepan tugas mencabar, terutamanya dalam mengendalikan siasatan melibatkan Datuk Seri Najib Razak yang terlibat dalam 2 skandal kewangan, kata salah seorang ahlinya.

"Saya boleh simpulkan, semuanya individu berintegriti yang mahu mengikut undang-undang," kata ahli panel itu, bercakap kepada The Malaysian Insider dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Beliau berkata, tidak mungkin mereka akan dilantik semula, setelah tempoh setahun mereka berakhir, berdasarkan pendirian yang tidak berbelah bahagi diambil PPO terhadap perdana menteri.

"Malang sekali jawatankuasa ini terpaksa berdepan dengan perkara seperti ini ketika skandal itu pertama kali dihebahkan Julai lalu.

"Tetapi, ahli PPO melakukan tugas mereka secara profesional dan ia kini disedari orang awam," katanya.

Ahli panel itu terdiri dari Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan, Datuk Zamani Abdul Ghani, Datuk Azizah Arshad, Datuk Wan Abdul Wahab Abdullah, Profesor Dr Normah Omar, Dr Sundramoorthy M Pathmanathan dan Lim Chee Wee.

Tempoh setahun mereka berakhir semalam.

Ahli panel itu dilantik secara pentadbiran oleh perdana menteri di kalangan mereka yang pakar dalam profesion berkaitan dan yang boleh mewakili kualiti integriti dan kebebasan SPRM.

Panel itu bertindak sebagai mekanisme semak dan imbang bagi kes yang sedang berlangsung, kes untuk didakwa atau kes di mana pendakwa raya tidak setuju melakukan pendakwaan.

Ia juga boleh mengemukakan pandangannya kepada SPRM terhadap kes tertentu jika penjelasan lanjut diperlukan.

PPO adalah salah satu daripada 5 jawatankuasa pengawasan yang dibentuk berikutan penjenamaan semula SPRM pada 2009.

Badan anti rasuah itu sebelum ini dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah.

Satu lagi panel yang ditubuhkan secara pentadbiran dan pelantikan ahlinya juga dibuat perdana menteri ialah Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.

Tiga lagi, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dan Jawatankuasa Aduan, adalah panel yang ditubuhkan mengikut undang-undang seperti dikehendaki di bawah Akta SPRM 2009. – 25 Februari, 2016. 

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kami-profesional-dalam-kes-babitkan-pm-kata-panel-sprm#sthash.4mjn0aL2.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...