TERKINI :

Wednesday, February 17, 2016

Jelek memperlekeh saman ke atas Mat Sabu, kata Aiman Athirah

Sikap pihak tertentu yang memperlekehkan tindakan undang-undang dengan bayaran saman berjumlah RM200,000 ke atas Presiden Amanah, Mohamad Sabu dianggap sebagai menjelekkan ketika rakyat menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Aiman Athirah Al JundiAhli Jawatankuasa Amanah, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, reaksi pihak terbabit berhubung keputusan mahkamah tersebut lebih menyedihkan ketika Mohamad memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden Pas pada 2013.

“Amat malang seolah-olah langsung tiada pembelaan ke atas beliau (Mohamad) dan kebajikannya tidak diutamakan sehinggalah kita semua dikejutkan dengan berita kemungkinan muflis ini jika gagal membayar RM200,000 itu,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Menurut beliau, isu kad pengenalan palsu di Sabah seperti dibangkitkan Mohamad sebelum ini adalah berkaitan kedaulatan negara dan legitimasi sesebuah kerajaan dalam memastikan proses pilihanraya yang bersih, adil, telus dan diyakini rakyat.

“Tentulah tumpuan kita adalah institusi yang bertanggungjawab iaitu SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan seluruh penjawat jawatan penting di dalamnya.

“Seluruh dunia tahu akan perjuangan rakyat Malaysia melalui Bersih menuntut pilihanraya bersih dan adil khususnya memulihkan peranan SPR dalam menjalankan tugas-tuga berkaitan pilihan raya,” tegasnya.

Mengulas peranan Mohamad dalam tuntutan berkenaan, Athirah menyifatkan pemimpin itu sebagai komandan perjuangan rakyat di negara ini dan tindakan saman tersebut bukan suatu yang memalukan terutama kepada ahli dan penyokong Amanah.

“Beliau ternyata berjaya membangkitkan kesedaran dan keberanian rakyat untuk turun ke jalan raya sekaligus berjaya menggembleng seluruh rakyat tanpa mengira kaum untuk sama-sama bertanggungjawab memastikan SPR menjalankan tugas seperti yang semua kita harapkan.

“Bahkan saya percaya kebanyakan aktivis kebangkitan rakyat, masyarakat sivil serta setiap rakyat Malaysia juga sependapat dengan saya yang mahukan pilihan raya yang bersih dan adil,” ujarnya.

Hal ini dapat dibuktikan, katanya, melalui inisiatif beberapa kumpulan aktivis dan masyarakat yang pada masa ini sedang mengumpulkan RM200,000 tersebut bagi memastikan wira rakyat itu terlepas daripada hukuman muflis seperti yang digembar-gemburkan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab atau lebih tepat kelompok terdesak ini.

‘Projek IC’ benar-benar berlaku

Dalam hal berkaitan, Athirah berkata isu projek kad pengenalan atau dikenali ‘Projek IC’ di Sabah bukan diada-adakan sebaliknya adalah krisis dan skandal yang benar-benar berlaku bagi memastikan kelangsungan BN.

Poster derma untuk Mat Sabu yang tersebar beberapa hari lalu.Poster derma untuk Mat Sabu yang tersebar beberapa hari lalu.“Persoalan bahawa telah berlaku kepincangan urus tadbir dalam plihan raya sejak zaman Tun Datu Mustafa Harun (bekas Ketua Umno Sabah), sekaligus usaha BN memastikan PBS (Parti Bersatu Sabah) tumbang serta memberi kesan besar dalam politik Bumiputera Sabah dengan kemasukan Umno adalah isu besar dan tidak mungkin akan terpadam daripada sejarah hitam rakyat jelata di sana,” ujarnya.

Sehubungan itu, baginya usaha Mohamad membongkar skandal berkenaan wajar dilihat sebagai bakti dan budinya kepada negara terutama kepada rakyat di Sabah.

“Saya bagi pihak Awan (Angkatan Wanita Amanah Negara) bersama seluruh rakan aktivis pelbagai kumpulan dan rakyat Malaysia seluruhnya akan mengambil tanggungjawab bagi memastikan Haji Mohamad Sabu bebas daripada pengisytiharan muflis sekaligus melunaskan saman RM200,000 itu. Inshaa Allah,” tambah Athirah lagi.

Untuk rekod, mahkamah pada 20 Mac 2014 memerintahkan Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu membayar RM200,000 kepada bekas Timbalan Pengarah SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ekoran kenyataannya berhubung isu ‘Projek IC’ di Sabah yang disiarkan dalam akhbar rasmi Pas, Harakah edisi 1 hingga 3 Februari 2013.

Sehubungan itu, Mat Sabu bakal berdepan risiko menjadi muflis jika gagal melunaskan bayaran saman tersebut selewat-lewatnya pada 11 Ogos ini. Turut dikenakan tindakan saman ialah bekas Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.

Dalam hal berkaitan, Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir sebelum ini menyeru pihak yang berhasrat melaksanakan kutipan dana membantu Mat Sabu agar dapat menghubungi Wisma Amanah di talian 03-6242 1511 bagi tujuan penyelarasan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...